Menyedari kepetingan pendidikan Islam buat generasi muda, pendakwah bebas yang juga selebriti Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 27, memperkenalkan pra sekolah, Islah Junior yang memberi fokus kepada pemahaman agama Islam sedari kecil selain pembelajaran lain.
Menurut PU Riz yang juga pengasas bersama dengan Mohd Fakhruddin Mohd Ariff, silibus sekolah itu membantu kanak-kanak mendapat pendidikan yang seimbang antara dunia dan akhirat.
“Apabila isteri hamil, saya mula fikir anak kena utamakan pendidikan. Selepas ada anak, saya berfikir lebih lagi terutama membabitkan pendidikan agama Islam untuk masa depannya.
“Ini satu lagi cabang perniagaan yang saya terokai. Kalau ditanya kenapa saya terbabit, ia adalah untuk anak bangsa. Kalau tak fokus dari usia awal kanak-kanak, nanti banyak mereka terlepas contohnya dalam bab agama.
“Saya nak melihat anak-anak kita membesar dengan ilmu dunia dan akhirat yang seimbang. Kalau boleh nak mereka ada pemahaman agama sedari kecil,” katanya.
Menurut PU Riz, Islah Junior khusus buat kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun.
“Sebelum ini Che Din (Mohd Fakhruddin) pernah buka sekolah sendiri. Selepas ada pengalaman yang luas, dia nak buka sekolah sendiri pula. Jadi, dia ajak saya untuk turut serta sebagai pengasas bersama. Saya cakap, nak tengok kertas kerja dan cadangan dulu.
“Pada awalnya saya tengok satu persatu dulu dari segi silubus dan sistem yang bakal digunakan. Kebetulan jurusan pengajian saya dulu adalah pendidikan, jadi saya tengok pendekatan pengajaran mereka bagus.
“Keunikannya adalah penggunaan bahasa pelbagai iaitu ‘uncomman words’ yang menjadikan penggunaaan kosa kata itu pelbagai. Itu yang saya minat dan akhirnya ambil keputusan untuk terbabit sama,” katanya.
Mengulas lanjut, peranannya adalah lebih kepada penyediaan silibus subjek berkaitan agama Islam selain bertindak dari segi perancangan pengajaran, promosi dan pemasaran.
“Islah Junior secara rasmi ditubuhkan awal tahun ini dan baharu saja dirasmikan pada 1 Julai lalu. Ini sekolah baharu dan nama pun saya yang bagi.
“Alhamdulillah, sekarang sekolah ini sudah ada empat cawangan iaitu di Shah Alam, Klang, Putrajaya dan Cyberjaya.
“Bahasa pengantar dalam bahasa Inggeris dan Arab. Guru-guru pula majoriti yang mendidik sekurang-kurangnya lepasan Diploma Pendidikan sama ada dalam bidang Inggeris atau Arab. Kurang daripada itu, mereka menjadi penjaga dan membabitkan pengurusan di sekolah.
“Insya-Allah, esok kami akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Selangor (Unisel) yang mana pelajar bidang pendidikan mereka boleh menjalani latihan industri (praktikal) di Islah Junior,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.