Hiburan

“Membesar Di Set Dengan Papa…,” – Dapat Tahu Berita Di Tanah Suci, Niat Nak Jumpa Jaafar Onn Lepas Umrah Tak Kesampaian

Share

Pelakon, Datin Anne Ngasri meluahkan rasa sayu bila mengenangkan pemergian pelakon senior, Allahyarham Jaafar Onn yang telah menghembuskan nafas terakhir pagi Rabu.

Menurut Anne atau nama sebenarnya, Naszriah Ngasri, dia sudah menganggap Jaafar seperti bapanya sendiri lebih-lebih apabila kedua-dua mereka pernah bergandingan menerusi drama yang pernah mencetuskan fenomena satu ketika dahulu yang berjudul, Cili Padi.

“Allahuakbar. Gambar terakhir kita tempoh hari di hospital. Papa sudah pergi tinggalkan N. Membesar di set bersama Papa. Papa, N anggap seperti bapa sendiri.

“Kalau di set, selalu belikan N coklat dan hadiah. Jaga N mcm anak sendiri! Masyaallah terlalu banyak kenangan kita,” tulisnya.

Luahan itu dikongsikan sendiri oleh Anne menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Katanya lagi, dia juga agak terkilan kerana tidak dapat melihat arwah buat terkahir kali kerana ketika ini dia sedang berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah.

“N masih di Mekah dan menerima khabar duka ini. Harapan nak jumpa Papa balik nanti tidak kesampaian.

“Allah lebih sayangkan Papa Pergi mu di bulan baik,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, adik kepada pelakon, Bell Ngasri ini turut menyifatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal jadi berbeza dengan ketiadaan arwah Jaafar.

“Setiap tahun tak pernah gagal beraya dengan kek kukus buah tapi tidak kali ini. N doakan syurga buat Papa. Papa insan seni hebat dan terlalu baik.

“N akan selalu doakan Papa bahagia disisi Pencipta,” akhirinya.

Terdahulu, arwah Jaafar telah telah dikejarkan ke wad kecemasan, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang selepas mengalami pendarahan ketika membuang air besar.

Jenazah Jaafar masih di Hospital Serdang dan dijangka akan dibawa pulang ke Muar untuk dikebumikan di sana.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Jaafar Onn

Published by
Aizam Manaf