Dua sahabat baik kepada pelakon Ruhainies iaitu Zahar dan Fyzal memaklumkan aktres berkenaan kini lebih banyak berdiam susulan kontroversi hangat yang turut membabitkan rakan artis, Aliff Aziz.
Menurut Zahar atau Ahmad Zahar, mereka juga menasihatkan Ruhainies agar tidak membaca komen di media sosial.
“Keadaan dia baik-baik sahaja dan dia tetap meneruskan komitmen kerja seperti biasa. Cuma apa yang kami perasan, dia kini lebih banyak berdiam.
“Kami sebagai rakan juga menasihatinya agar tidak membaca dan menutup ruangan komen di sosial media. Bagaimanapun dia tahu perkembangan berlaku.
“Di pihak kami, memang sedikit tertekan membaca komen-komen kecaman di media sosial,” kata mereka ketika ditemui di majlis berbuka puasa di Shah Alam, pada Isnin.
Sementara itu, Zahar berpendapat, dia yakin Ruhainies tidak terlibat dalam aktiviti yang tidak senonoh sebagaimana yang didakwa.
Malah kedua-dua mereka terkejut menerima perkhabaran Ruhainies ditangkap khalwat.
“Kami dapat tahu pada sebelah siang hari Sabtu. Kami juga terkejut. Kami tidak mahu komen tentang kejadian itu kerana tiada di lokasi.
“Tak mungkin Ruhainies berbuat begitu. Dia seorang yang baik, sopan-santun dan lemah-lembut. Dia bukan jenis begitu seperti yang dikatakan,” ujarnya.
Sementara itu Fyzal menegaskan dia dan Zahar bukan pembantu peribadi Ruhainies yang dikatakan tidak bersama di malam kejadian.
“Sebaliknya ada seorang lagi individu yang sepatutnya menemani Ruhainies ketika itu.
“Saya dan Zahar tiada di tempat kejadian. Ada orang lain yang bersama dia malam itu,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan pasangan selebriti telah ditangkap bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di ibu kota, pada 8 Mac lalu.
Adik kepada Bella iaitu Didi Astillah mengesahkan individu yang dicekup oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu adalah abang iparnya, Aliff.
Aliff dan Ruhanies dilaporkan sudah dibebaskan dengan jaminan sementara kira-kira jam 2 petang di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sementara menanti pendakwaan pada satu tarikh lain (masa terdekat).
Kemudian, pada Isnin, Bella telah menfailkan penceraian terhadap Aliff di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan sebutan kali pertama telah berlangsung pada Rabu.
Namun, kelibat Aliff tidak kelihatan dan alasan diberikan kerana sedang menjalani penggambaran drama siri Terjerat.
Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI