“Mencari Sesuap Nasi Tak Sepatutnya Membebankan,” – Artis ‘Rahsia’ Sakit Agar Tak Hilang Job, Fazley Yaakob Anggap Situasi Ini Menyedihkan

Share

Berita mengenai pemergian pelakon terkenal, Ridzuan Hashim pada Khamis nyata telah mengejutkan ramai pihak.

Ridzuan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 11.25 pagi selepas rebah ketika sedang bersarapan dengan anak-anaknya.

Sementara itu, anak kepada Ridzuan, Muhammad Dhanial mendedahkan bapanya itu sudah tiga tahun menderita sakit jantung tetapi tidak mahu memaklumkan kepada umum kerana bimbang kehilangan tawaran berlakon.

Pendedahan tersebut telah menyentak hati banyak pihak termasuklah buat pelakon, penyanyi dan chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob.

Jelas Fazley, dia sedikit terkilan dengan senario industri seni masa kini dimana para artis perlu merahsiakan mengenai masalah kesihatan agar nama mereka tidak dipinggirkan.

“‘Terpaksa rahsiakan penyakit kerana takut hilang job.’ Allahu, terlalu pedih ayat ini untuk ditelan. Adakah ‘pemberi rezeki’ kini telah menjadi terlalu jumud pemikiran mereka?

“Sehingga rakan-rakan industri terpaksa ‘buat-buat sihat’ agar terus mendapat rezeki yang halal,” tulisnya.

Katanya lagi, hal seperti ini harus diubah kerana soal kesihatan tidak sepatutnya menjadi perkara yang perlu disembunyikan lebih-lebih lagi ketika mencari rezeki.

“Perkara seperti ini harus berhenti. Tolonglah sahabat-sahabat semua. Janganlah sampai pemergian mengejut sahabat-sahabat kita berlaku lagi atas alasan yang sama. ‘Rahsiakan penyakit kerana takut hilang job’.”

“Tapi ini harus diubah! Mencari sesuap nasi tak seharusnya membebankan mereka yang sememangnya uzur. Apatah lagi jika ianya merupakan mata pencarian utama seseorang,” ujar yang lagi.

Pandangan tersebut disuarakan oleh penyanyi lagu Bila April itu menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.

Malah, Fazley turut mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang seakan mendiskriminasi peluang para pelakon yang mempunyai masalah kesihatan.

“Atau mungkin ada di kalangan mereka yang ‘memberi job’, secara rahsia telah memberikan amaran ‘kalau dia ada penyakit jangan diberi job, nanti menyusahkan semua orang!’ Wallahualam.

“Korang tak rasa ke ini sangat memedihkan dan menyedihkan?,” kongsinya lagi.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen turut mendedahkan perkara seperti ini turut berlaku dibidang-bidang lain.

Mereka harus merahsiakan soal penyakit agar tidak diketepikan.

Terdahulu, Allahyarham Ridzuan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor selepas solat Maghrib malam tadi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Datuk Fazley Yaakob

Published by
Aizam Manaf