‘Makcik gelang pink’ yang menjadi tular kerana ingkar arahan kuarantin dengan makan di sebuah kafe di Bandar Meru Raya, Ipoh baru-baru ini mengaku bersalah.
Memetik Berita Harian, wanita itu dijatuhkan hukuman penjara selama satu hari serta denda RM8,000 selepas didapati tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian ketika dikenakan perintah kuarantin di rumah, 6 Julai lalu.
Tertuduh, Nur Emah Mohamad Hashim, 72, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Nabihah Mohd Noor.
Terdahulu, media melaporkan gambar wanita terbabit mencetuskan tular di media sosial selepas dikatakan, sedang menikmati hidangan di sebuah medan selera, dalam keadaan memakai gelang kuarantin COVID-19 sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen.
Pada 29 Julai lalu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain seperti yang dipetik Awani menjelaskan, pihaknya telah menghentikan siasatan berkaitan kes berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, siasatan tersebut akan diteruskan oleh JKN Perak.