“Mengenangkan Apa Yang Papa Rasa Kalau Dia Ada Depan Faz Sekarang, Bila Anak Perempuan Tunggalnya Bakal Lahirkan Anak Pertama,” – Sempena Hari Jadi Arwah Bapa, Fazura Titip Doa & Rindu

Share

Fazura ada menitipkan dedikasi teristimewa bersempena ulang tahun kelahiran arwah bapanya, Sharifuddin Adnan.

Memuat naik foto sekuntum bunga mawar putih sebagai simbolik mengenang insan teristimewa dalam hidup, permaisuri hati kepada pelakon, Fattah Amin ini menzahirkan rasa.

Kongsinya, dia rasa sayu apabila mengenangkan apakah perasaan Papa (panggilan buat arwah bapa) andai mengetahui anak perempuan tunggalnya itu bakal melahirkan anak pertama tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Fazura bersyukur kerana masih terus dapat berdoa buat Allahyarham.

Perkongsian rasa tersebut dibuat bintang Pisau Cukur ini menerusi Instagram, pada Rabu.

“Hari ni merupakan hari lahir Allahyarham Papa. He would have been 64 today.

“Tahun ni rasa sayu yang luarbiasa, mengenangkan apa yang Papa rasa kalau dia ada depan Faz sekarang bila anak perempuan tunggalnya bakal melahirkan anak pertama. Rindu tak terkata.

“Tapi Faz tetap rasa dekat dengan Papa, syukur selalu dapat berdoa untuknya. Pohon Faz jika semua dapat titipkan doa buat Allahyarham papa, Sharifuddin bin Adnan,” tulisnya.

Bakal ibu ini pada masa sama turut bersedih atas pemergiaan teman baik arwah bapanya yang sudah dianggap sebagai bapa saudara sendiri.

“Semoga rohnya sentiasa berada di dalam keredhaan dan kemuliaan Allah SWT. Faz turut bersedih atas pemergiaan teman baik arwah Papa yang sudah dianggap seperti bapa saudara Faz.

“Beliau telah berhijrah ke alam abadi lewat subuh semalam, sehari sebelum hari lahir Papa. Mari kita sama-sama mendoakan agar roh Mohamed Amin Bin Hussin dicucuri rahmat.

“Semoga isteri dan anak-anak yang dikasihi dikurniakan kekuatan dan ketenangan untuk melalui hari-hari yang akan datang,” kongsinya panjang lebar.

Serentak dengan perkongsian itu, para peminat menitipkan doa di ruangan komen serta bacaan al-Fatihah buat insan yang telah pergi buat selamanya.

Published by
MH