Pelakon, Zarina Zainuddin mengakui terkejut apabila anak bongsunya, Adam,15, membelanjakan lebih RM10,000 untuk membeli tiga permainan video dalam talian.

Atas hal yang berlaku, Zarina berkata dia hilang kata-kata apabila wang simpanan sebanyak RM23,000 untuk kegunaan masa depan pendidikan anaknya itu kini hanya berbaki RM3.

“Selama ini, saya memang beri dia kad bank untuk mudahkan dia membeli data internet atau makanan dalam talian. Saya tak terfikir langsung yang dia akan menggunakan wang yang saya kumpul dalam akaun peribadinya untuk membeli permainan video itu.

“Menggigil satu badan apabila dapat tahu wang itu ‘lesap’. Adam mengaku dia membeli tiga permainan video dalam talian yang setiap satunya berharga RM3,000 hingga RM5,000,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Zarina berkongsi video di Instagram yang memperlihatkan Adam mengaku kesilapan yang dibuat dan berasa kesal dengan tindakannya itu.

Ads

Bagaimanapun, Zarina sudah memadam video itu kerana dikecam netizen yang mendakwa pelakon itu menjatuhkan air muka dan membuka aib anaknya.

Zarina berkata, dia tidak berniat untuk mengaibkan anak bongsunya itu sebaliknya mahu perkara ini menjadi iktibar dan teladan kepada ibu bapa lain.

Ads

“Saya muat naik video itu bukan suka-suka atau nak aibkan anak. Saya cuma nak bagi teladan supaya ibu bapa di luar sana mengawasi pergerakan anak-anak di rumah, lagi-lagi dalam keadaan sekarang ini macam-macam boleh berlaku.

“Saya sudah memadam hantaran itu dan saya beritahu Adam yang saya nak dia menghargai apa yang saya lakukan untuknya selama ini. Sebagai ibu saya sangat terkesan dengan benda ini tapi orang luar tak faham perasaan saya. Mereka ingat saya muat naik video untuk tujuan nak malukan dia.

Ads

“Nak malu apa? Dia bukan mencuri atau merogol anak orang. Dia cuma beli permainan video menggunakan duit dia sendiri dengan jumlah yang begitu besar. Dia mencalarkan kepercayaan saya. Jadi apa yang malunya? Mereka yang kata macam ini tiada fikiran ke?

“Takkanlah nak simpan keburukan anak. Saya kongsi supaya orang luar juga ambil langkah sama dengan memantau pergerakan anak masing-masing. Saya dah terkena, jadi saya tak mahu orang lain pun sama,” katanya.

Zarina berkata, dia sangat tegas dengan anak-anak dan jika buat salah kena mengaku kesilapan yang dibuat dan kena tanggung kesan kesalahan itu.

Sumber: Harian Metro

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI