Pelakon dan penyanyi popular era 80an, Marissa Haque atau nama penuhnya Marissa Grace Haque meninggal dunia pada 2 Oktober 2024.

Kematiannya pada usia 62 tahun mengejutkan ramai pihak lantaran sehari sebelum kematian dia masih lagi aktif berkongsi aktiviti sehariannya sebagai seorang ahli akademik di media sosial.

Dalam laporan terbaru adiknya, Soraya Haque yang juga seorang pelakon menjawab soalan pihak media yang bertanya punca kematian Marissa.

Ajal Di Bilik Tidur

“Tidak ada, tidak ada jatuh. Di bilik tidur sahaja, memang sudah ajal,” jawabnya ringkas terhadap soalan yang diberikan.

Menerangkan keadaan tersebut dengan lebih lanjut, Soraya berkongsi individu pertama yang mengetahui kematian adalah suami kakaknya itu, Ikang Fawzi.

“Ya suaminya lah, mereka di bilik tidur. Suaminya lah yang tahu Marissa sudah berada dalam keadaan tidak bergerak,” jawabnya lagi.

Setelah didapati tidak bergerak, pelakon yang  bergelar pensyarah itu dibawa ke hospital berdekatan kediamannya sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

Selebriti Cemerlang

Imbas kembali, Marissa Haque memulakan kerjayanya dalam dunia seni sekitar tahun 80an dengan menceburi dunia tarik suara dan juga lakonan.

Membintangi pelbagai filem ketika aktif sebagai pelakon, bakat ibu kepada dua cahaya mata ini cukup bersinar. Ini terbukti apabila dia menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Piala Citra pada 1985.

Piala Citra adalah penghargaan Festival Filem Indonesia yang merupakan peringkat tertinggi anugerah dalam dunia perfileman di negara itu.

Sebagai seorang yang berwawasan tinggi, Marissa memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Undang-Undang. Dia kemudiannya pengajian Sarjana dalam bidang Bahasa Untuk Anak Cacat Pendengaran dan turut memiliki Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan (MBA).

Pada 2012, Marissa berjaya memperoleh Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Undang-Undang Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Asli.

Atas kecemerlangannya, dia dianugerahkan gelaran Professor Madya Dr. Marissa Haque. Pada saat meninggal dunia, selebriti berjiwa besar ini merupakan seorang Pensyarah di Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi (STIE), Indonesian Banking School.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI