“Menjerit-Jerit, Tarik Tangan,” – Bella Astillah Sebak Lihat Anak Menangis Meraung Di Airport, Saat Berpisah Dengan Aliff Aziz

Share

Sentiasa tenang dan positif tatkala berdepan dengan dugaan yang melanda, penyanyi dan pelakon Bella Astillah tidak akan sesekali memisahkan hubungan antara anaknya, Mohamad Ayden Adrean dengan bekas suami, Aliff Aziz.

Katanya, setiap kali Ayden bertemu dengan Aliff, pasti akan timbul rasa sebak dalam diri pelakon telefilem Jamil Balik Kampung itu melihat keakraban antara hubungan dua beranak itu.

“Ketika Ayden mahu berpisah dengan Aliff (Malaysia-Singapura) di airport (lapangan terbang) Ayden akan meraung menagis kuat, menjerit-jerit dan tarik tangan ayah dia (Aliff) agar Aliff dan saya sama-sama menuju pulang. 

“Malah, Aydeen akan terus menagis sehingga menaiki pesawat.

“Secara tak langsung, saya berasa sebak melihat wajah Aydeen,” kata Bella.

Bintang ini ditemui MH di Pokok Cafe, Kuala Lumpur siang tadi sempena majlis pelancaran produk Luxe Perfect Cover Foundation.

Dalam masa sama, anak kelahiran Sabah ini merakam momen kesedihan Aydeen yang tercalon dalam Top 20 untuk kategori Si Cilik Meletop di AME2020 turut berkongsi video tersebut pada bekas suaminya.

“Kadang-kadang saya terfikir macam mana nak balik Singapura pada masa akan datang untuk mengalihkan perhatian Aydeen, tetapi saya tidak berhak berbuat demikian kerana saya tidak mahu pisahkan hubungan mereka sebagai anak dan bapa. 

“Ketika Aydeen menagis sedemikian rupa, saya rakam momen tersebut dan saya hantar rakaman tersebut pada Aliff.

“Kadang-kadang terfikir, “adakah aku ini terlalu pentingkan diri sendiri kerana biarkan anak sendiri meraung menagis?,” kongsinya. 

Malah, Bella atau nama lengkapnya Dayang Nabellah Awang Astillah reda dengan ujian dariNya.

“Apa-apa pun, saya pasti ada hikmah setiap perpisahan antara Aydeen dan Aliff kerana Allah Maha Mengetahui.

“Dari situ, kita boleh belajar dan menghargai insan tersayang, saya reda dan tawakal sahaja,” katanya tenang. 

Terdahulu, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Ayden yang kini dijaga sepenuhnya oleh Bella.

Mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 16 Mei tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Bella akan melancarkan single terbarunya berjudul Tenang yang akan dikeluarkan pada hujung bulan ini.

Published by
Amynur Akmal