Pelakon Hairul Azreen atau nama sebenarnya, Hairul Azreen Idris, 32, mengakui dia tidak mempunyai formula spesifik dalam mendidik dua anaknya, Yusuf Iskandar, 4, dan Alisa Aisyah, 1 tahun 6 bulan.
Sebaliknya, bintang filem Wira ini hanya berazam untuk memberikan yang terbaik buat permata hati bersama sokongan isteri, pelakon Hanis Zalikha.
Terdahulu, gelagat anak bongsunya, Alisa yang petah menyebut beberapa perkataan selain faham dengan kata-kata ibunya mendapat perhatian pengguna Instagram.
“Saya tidaklah terlalu arif mengenai soal keibubapaan, cuma setahu sayalah, setiap anak ada cara pembesaran masing-masing.
“Malah saya juga punyai ramai anak buah. Daripada situ, ada di antara mereka yang boleh bercakap, bertatih pada peringkat usia yang masih awal dan begitu juga sebaliknya.
“Akan tetapi saya percaya, sokongan ibu bapa juga penting dalam perkembangan anak-anak. Setiap ibu bapa pasti ada cara masing-masing dan mahukan yang terbaik untuk anak mereka.
“Isteri pun banyak membantu dan kami saling menyokong,” katanya.
Ditanya mengenai pandangan sesetengah netizen yang mempersoalkan isu penggunaan bahasa Inggeris yang lebih kerap dalam komunikasi keluarganya, Hairul menjelaskan ia adalah berdasarkan pengalaman sendiri.
“Saya sebelum ini tidak fasih berbahasa Inggeris. Rasa menyesal bila tidak belajar bahasa tersebut secara serius dulu.
“Di rumah, kami kerap bercakap dalam bahasa Inggeris selain bahasa Melayu. Macam saya sendiri, impian memang kalau boleh nak berlakon sampai ke Hollywood.
“Jadi saya juga turut ikuti kelas Bahasa Inggeris sejak setahun lalu. Bagi saya, ia bahasa yang penting, misalnya dalam sektor pekerjaan, sosial dan sebagainya.
“Apa pun, ia bergantung kepada cara ibu bapa juga. Cuma macam kami, hal itu bukanlah sehingga menidakkan bahasa sendiri.
“Cuma saya kurang ni pandai… jadi saya mahu didik anak saya supaya fasih berbahasa Inggeris selain bahasa sendiri.
“Pada masa sama, saya pun turut sedang belajar bahasa tersebut.
“Saya hanya nak lakukan yang terbaik untuk mereka, lagi banyak kelebihan andai kita tahu bahasa kedua,” jelasnya lagi.
Hairul dan Hanis mendirikan rumah tangga pada 5 Jun 2015.