Ada yang membayangkan kerjaya seni Aweera ada turun naiknya, lebih-lebih lagi apabila dua band yang pernah disertai, Mojo dan Prime Domestic berakhir separuh jalan.
Bertemu dengan Aweera sempena pelancaran single bersama band baharunya, Pelita Lusoh, bintang ini memberitahu dia mahu bebas dalam berkarya.
“Macam percintaan, kita merancang nak kahwin tapi akhirnya putus dan kahwin dengan orang lain.
“Kita jangka yang terbaik tapi selalu ada halangan. Mungkin nawaitu tak betul,” katanya kepada MH.
Terdahulu sewaktu meninggalkan Prime Domestic, penyanyi berusia 28 tahun ini nekad mengatakan mahu berjalan solo, namun tiba-tiba kembali muncul secara berkumpulan.
“Orang cakap saya tak serupa bikin? Bukan mencipta alasan. Muzik is freedom.
“Saya lagi suka orang berkata sebab mereka tengah membina pahala saya. Mereka juga membina dosa sendiri. Saya pun pendosa.
“Untuk orang-orang yang mengata tu, teruskan mengata,” terang Aweera lagi.
Sudah lali dikeji, bekas peserta One In A Million ini bagaimanapun tidak mengambil serius selagi ia tidak mengaitkan soal keluarganya.
“Netizen semua nak jadi ustaz ustazah. Artis buang tudung pun jadi isu. Biarlah, itu hal dia dengan tuhan.
“Macam saya orang asyik cerita yang buruk, terpulang. Saya tak kisah orang cakap apa-apa tapi jangan sampai mengaitkan nama mak ayah saya,” tambahnya yang bakal merentasi 5 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Jepun dalam rangka promosi Pelita Lusoh.
Foto – Instagram Aweera
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI