Penyanyi dan pelakon Datuk Awie, menyifatkan bayaran rendah dan tidak setimpal yang diberikan pihak produksi kepada artis veteran sebagai satu penghinaan.
Menurut Awie, para pemain industri seharusnya memberikan bayaran yang sepadan dengan pengalaman mereka selaku artis senior.
“Kenapa nak bagi RM500? Sebab dia sudah tua? Itu biadap. Saya sedih dengan perlakuan sebegini. Saya rasa itu satu penghinaan kepada artis-artis veteran.
“Kita tengoklah tahap artis veteran itu bagaimana. Adakah dia pernah menjadi popular atau sejak dahulu hanya menjadi extra sahaja
“Apa salahnya kita menghormati artis yang lebih dewasa dengan berikan bayaran yang setimpal atau lebih. Anggaplah itu satu sedekah dan amal ibadah,” katanya kepada MH.
Katanya lagi, artis-artis veteran ini telah membuka jalan yang luas buat para pendatang baharu untuk melangkah ke dalam industri dengan lebih mudah.
“Kalau tiada yang lama tiada yang baharu. Orang lama ini, dia sudah tebas jalan dan lalang-lalang untuk bagi mereka yang baharu ini datang.
“Jadi, rasa hormat itu perlu ada. Hormatlah pada mereka yang sudah mendahului kita,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, vokalis kumpulan Wings ini menyifatkan artis-artis senior ini telah menjalani pelbagai ranjau demi untuk menaikkan industri seni tempatam sehingga ke tahap sekarang.
“Zaman dahulu bukan mudah. Tidak seperti zaman digital ketika ini. Dahulu kami bergantung kepada analog dan tiada telefon pintar yang boleh buat macam-macam.
“Bagaimana mereka nak hidup dahulu adalah melalui jalan yang sukar. Bila zaman dah senang, anda tiba-tiba nak lupakan mereka yang sudah tebas lalang-lalang ini.
“Duri-duri semua mereka sudah bawa keluar dan yang baharu ini selesa berjalan di atas tar untuk mencapai kejayaan.
Tak fikir ke siap yang buka jalan?
“Ingatlah perjuagan mereka dalam industri. Mereka berada dalam industri bukan sahaja nak menaikkan diri sendiri tapi juga industri hiburan itu sendiri,” akhirnya.
Baru-baru ini, tular di media sosial satu temu bual diantara pelawak senior, Azlee Senario dan pihak media.
Dalam temu bual tersebut, Azlee memaklumkan dirinya telah menerima tawaran lakonan dengan jumlah bayaran RM500 sehari.
Namun, Azlee dikatakan menolak tawaran tersebut kerana dikatakan terlalu rendah.
Lantaran itu, Azlee telah dikecam hebat netizen kerana tindakkannya itu dikatakan seperti bongkak dan tidak bersyukur.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI