Pelakon dan usahawan, Zoey Rahman membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah rumah jenis kondominium bernilai kira-kira RM500,000 di Cheras, Kuala Lumpur kepada kedua ibu bapanya.
Jelas pengacara rancangan Gerak Geri Gasing itu, kejutan tersebut di luar pengetahuan mereka dan ia sebagai satu penghargaan atas kejayaan dalam hidupnya kini adalah kerana restu dan doa ibu bapa.
“Mereka tidak tahu dan kedatangan mereka dari Terengganu ke Kuala Lumpur adalah bagi memberi sokongan terhadap majlis pelancaran produk saya.
“Saya percaya rezeki yang saya kecapi adalah keberkatan doa mereka. Jadi, saya mahu membalas jasa dan pengorbanan mereka yang menyokong serta menyayangi saya tanpa berbelah bahagi.
“Selama ini, mereka menjadi pendengar setia apabila saya berdepan masalah, sering membimbing dan mengingatkan saya supaya menjaga solat.
“Sejujurnya, saya percaya berkat doa ibu bapa membuatkan saya sampai ke tahap ini. Sudah beberapa tahun perniagaan ini berjalan lancar dan kuasa doa mereka amat luar biasa,” katanya.
Zoey ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik dan kecantikan miliknya, Mikaseries For Superstar di Magica, Quill City Mall pada Jumaat lalu.
Melihat reaksi ibunya, Hajah Azizah Ibrahim yang kelihatan sebak selepas menerima kejutan, Zoey turut rasa sedih kerana impian sudah pun berjaya direalisasi.
“Bila lihatnya sebak, saya turut sama rasa terharu kerana sekurang-kurangnya cuba untuk buat hatinya gembira.
“Saya jarang berikan hadiah yang di luar jangkauan pada keluarga. Ini hadiah paling besar saya kepada mereka setakat ini,” katanya lagi.
Bintang ini turut mendedahkan, sepanjang lima tahun terbabit dalam dunia perniagaan, dia bergerak sendiri tanpa bantuan ahli keluarga.
“Sebenarnya, saya tak suka bekerja dengan ahli keluarga sebab kalau membabitkan mereka, saya kena jaga banyak perasaan dan saya takut tak bersikap profesional.
“Oleh sebab itu, saya lebih selesa bergerak sendiri menempuh cabaran sebagai ahli perniagaan.
“Sepanjang mengusahakan bisnes ini, semuanya bermula dari bawah dan mengumpul duit sendiri menerusi bidang lakonan. Saya tidak membuat sebarang pinjaman untuk memulakan perniagaan ini.
“Saya juga gembira jenama yang saya usahakan ini mendapat sambutan yang sangat baik di platform e-dagang Shopee dan ia juga bakal dijual di Watsons tidak lama lagi,” akhiri Zoey.