Uncategorized

‘Mereka Perlu Ada Identiti Sendiri’ – Tok Ram Jawab Isu Lambakan Artis Media Sosial

Share

Bagi penyanyi baharu yang mulai dikenali menerusi perkembangan media sosial misalnya menerusi YouTube atau Smule, pasti ada yang bakal berhadapan dengan tekanan besar terutamanya apabila mereka mulai terjun sebagai penyanyi profesional, dengan hanya berbekalkan sebuah lagu popular sahaja.

Dato’ Ramli M.S (Tok Ram) berpandangan, dalam konteks perniagaan seni ia secara tidak langsung boleh memberi satu bebanan kepada penyanyi baharu atas status ‘penyanyi’ yang diberikan peminat buat artis kesayangan mereka.

“Bayangkan andai piramid itu diterbalikkan. Yang berat itu ke atas dan yang ringan itu berada di bawah. Jadi mereka akan memikul gelaran yang mungkin mereka (penyanyi baharu) itu tidak minta pun. Mereka terlalu mentah untuk bergelar artis. Ia tidak semestinya kamu mempunyai sebuah single sudah boleh digelar penyanyi.  Kerjaya sahaja yang boleh dipanggil artis, tetapi status penyanyi itu sesuatu yang berlainan.

 

“Bermakna, sebagai seorang yang betul-betul boleh dipanggil penyanyi, kamu adalah individu yang sudah bersedia 100 peratus untuk membuat persembahan tanpa ada cacat cela.

 

“Malah saya sendiri tidak selesa bila digelar Maestro Muzik kerana ia adalah satu hirarki yang terlalu tinggi. Gelaran yang terlalu besar, kelas dunia,” jelas juri tetap program Gegar Vaganza ini kepada MH.

Ditanya mengenai lambakan artis khususnya penyanyi baharu pula, suami kepada penyanyi Alyah ini tidak mempunyai masalah andai kehadiran mereka yang ramai itu seiring dengan keupayaan untuk menyanyi secara baik.

“Bila ramai muka baru yang  boleh menyanyi hadir, ia sesuatu persiangan sihat bila mana semuanya berebut-rebut untuk menyanyi dengan bagus. Bukan merebut untuk mendapat nombor satu tanpa mempersiapkan diri sebagai seorang penyanyi sejati.

 

“Contohnya, bila seorang komposer memberikan lagu yang bagus buat mereka. Akan tetapi bila menyanyi secara ‘live’, mulalah ‘kelaut’. Jadi situasi itu tidak sihat. Lagu bagus, penyanyi pula sebaliknya. Penyanyi seberang seperti Agnes Monica sebagai contoh. Lagunya bagus dan persiapannya juga baik. Jadi standard sebegitu yang perlu ada buat setiap muka baru yang mahu pasang angan untuk menjadi penyanyi,” terangnya.

Tambahnya lagi, sesebuah program pencarian bakat baru sama ada nyanyian dan lakonan juga tidak boleh dilakukan proses pemilihan peserta dengan terlalu pantas. Sebaliknya, setiap peserta perlu diteliti dan ditapis dengan terperinci agar ‘output’ yang diterima itu boleh dibanggakan.

“Kita tidak perlu ada seorang lagi Jamal Abdillah. Mereka perlu ada identiti sendiri. Tidak perlu meniru penyanyi senior sedia ada. Kebanyakan mereka (penyanyi baru) lebih selesa untuk tiru, tanpa memikirkan identiti tersendiri. Akhirnya mereka akan datang dan pergi dalan dunia seni Malaysia,” akhiri Ramli.

Foto: Astro

Published by
Rafiq Mazlan