“Mereka Pilih Yang Terbaik Di Antara Yang Terbaik,” – Kamar Kamariah Menang, Datuk Rosyam Nor Percaya Rezeki

Share

Terdahulu, drama fenomena, Nur telah merangkul anugerah Drama Rantaian Terbaik Anugerah Skrin tahun lalu.

Tahun ini, kategori sama nyata berpihak kepada drama rantaian hebat, Kamar Kamariah.

Menurut penerbit drama berkenaan, Datuk Rosyam Nor mengakui dirinya tidak menjangka akan merangkul anugerah tersebut.

“Saya tak sangka drama Kamar Kamariah ini diangkat sebagai drama rantaian terbaik dan saya dedikasikan ini kepada Allayarham Raja Ahmad Alaudin yang mengarahkan drama ini.

“Malah barisan pelakon drama ini turut menjadi sebahagian faktor kemenangan kerana tanpa mereka saya rasa drama ini tidak diumumkan sebagai pemenang” kata Rosyam.

Ditanya andai ada yang membandingkan kemenangan drama tersebut bersama drama Nur 2, bintang senior ini punya jawapan sendiri.

“Sebenarnya kita tak mengharapkan apa-apa. Bagi saya dah masuk pencalonan top 5 dalam Anugerah Skrin pun dah cukup baik.

“Malah saya tak nafikan drama saingan lain pun cukup hebat seperti drama Nur 2, Pia dan yang lain-lain.

“Saya tak nafikan drama Nur mempunyai peminat yang tersendiri dan sudah masuk musim kedua pun drama tersebut.

“Tetapi juri di Anugerah Skrin pasti ada sebab tersendiri dan inilah yang dinamakan rezeki Kamar Kamariah untuk malam ini,” jelas Rosyam kepada MH.

Drama rantaian Nur 2, Aku Yang Kau Tinggalkan, Pia dan Sara Kirana antara yang tercalon untuk kategori Drama Rantaian Terbaik Anugerah Skrin tahun ini.

Sekadar informasi, pengarah Kamar-Kamariah, Allahyarham Raja Ahmad Alauddin telah kembali ke rahmatullah 29 Ogos lalu.

Published by
Nazar Rafiqhi