Penyanyi dan usahawan, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi jenamanya, SimplySiti mengambil pendirian terbuka apabila memilih gadis tidak berhijab, Zahra Zura Aziza Zahanor, 20, sebagai wajah wakilan produk berkenaan.
Menurut Siti, 42, para peminat yang mengikuti perkembangan dirinya sejak dulu sudah mengetahui mengenai personaliti yang dibawa ibu kepada dua cahaya mata ini.
“Kalau ikutkan asalnya saya pun memang tak berhijab dan seterusnya saya berhijrah dan berhijab. Tetapi untuk satu jenama SimplySiti ini saya lebih terbuka.
“Lebih-lebih lagi apabila saya mempunyai ‘followers’ yang mengikuti perkembangan saya sejak dulu hingga kini.
“Jadi mereka sudah sedia maklum mengenai imej saya. Akan tetapi dalam ‘mencuri’ hati anak-anak muda, kami percaya Zahra memang sesuai untuk mewakili mereka,” katannya.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk baharu SimplySiti di Menara Kuala Lumpur, pada Rabu.
“Berhijab atau tidak bukan faktornya. Itu personal seseorang di mana dia akan buat keputusan untuk dirinya satu masa nanti.
”Tetapi untuk membawa nama SimplySiti itu, saya senang memilih individu yang ada keperibadian, wajah dan kebijaksanaan untuk menarik generasi baharu seperti Zahra untuk mengenali produk saya,” katanya lagi.
Terdahulu menerusi lebih 700 penyertaan dalam Pencarian Wajah SimplySiti, penyanyi Anta Permana ini turut mempunyai alasan tersendiri memilih gadis berkenaan sebagai duta produknya itu.
Tambahnya lagi, Zahra bukan sahaja diberi tugas sebagai jurucakap SimplySiti tetapi perlu hadir ke pejabat bagi mendalami mengenai produk dan perniagaan dalam misi menjadi usahawan berjaya.
Zahra merupakan pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan dan Pentadbiran Insurans di Universiti Teknologi MARA (UITM).
Siti pada masa sama tidak menghalang sekiranya Zahra mempunyai peluang berlakon selepas ini selagi sentiasa fokus terhadap tanggungjawabnya sebagai duta produk.
Selain itu rangkaian gincu dengan 3 kemasan iaitu
matte, semi-matte dan moist, 9 in 1 Eyeshadow, SimplySiti Valumizing, Lash Extension Mascara, Eyeliner dan Eyebrow Pencil dalam rona hitam dan coklat serta Micellar Water turut ditawarkan kepada pembeli.SimplySiti yang ditubuhkan pada tahun 2010 merupakan jenama kosmetik dan penjagaan kulit keluaran tempatan yang dirumus secara saintifik dan terbukti secara klinikal serta mempunyai Sijil Halal Jakim. Ia menjadi pilihan wanita Islam di Asia.
Jenama ini mencerminkan gaya hidupnya yang praktikal, mudah dan sentiasa tampil menawan.