“Mereka Yang Rugi, Rezeki Allah Luas,” – Nama Ditolak Sebab Tak Cukup Seksi, Hani Fadzil Kongsi Realiti Jadi Hos

Share

Penyampai radio dan pengacara, Hani Fadzil akui terkilan dengan sikap segelintir pihak yang lebih mementingkan cara pemakaian berbanding bakat sebagai kritiria sebelum memberikan sesuatu tawaran kerja.

Jelas Hani, namanya telah ditolak untuk mengacarakan sebuah acara kerana dia dikatakan tidak cukup seksi.

“Tak dapat job sebab bakat saya, tidak. Tak dapat job sebab tak seksi, ya.

“Macam ni pun boleh. Selalu tak dapat job sebab tak cukup followers. Ni tak seksi pula,” tulisnya.

Kisah tersebut dikongsikan sendiri oleh Hani menerusi beberapa ciapan di akaun Twitter.

Dalam pada itu, bekas penyampai radio Era itu turut memaklumkan situasi ini merupakan realiti masa kini yang harus dilalui oleh setiap pengacara.

Namun, dia juga tidak mahu perkara ini mematahkan semangatnya untuk terus berjuang di dalam industri seni tempatan.

“Apapun, saya faham yang sesetengah klien ada kritiria pemilihan mereka yang tersendiri. Namun, saya cuma mahu berkongsi kerana ini realiti yang berlaku dalam kehidupan sekarang.

“Sebelum ini juga saya selalu dapat respon yang saya ini tak cukup followers. Ada juga yang kata saya bagus tapi tak cukup cantik tapi saya tidak akan mengalah,” ujarnya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengkritik tindakan tersebut selain turut menyifatkan para klien itu sebenarnya yang rugi kerana tidak mendapatkan khidmat Hani.

“Yang seksi tak semestinya berkualiti dan kerja yang bermutu.

“Bekerjalah dengan orang yang mahu bekerja dengan kita dan hormat pendirian kita. Tak mengapa, jangan pernah mengalah dan tinggalkan pendirian kita.

“Kesian Hani kena macam tu. Apa yang diorang nak sebenarnya? Kejap nak follower ramai dan kejap nak sexy. Dapat yang kayu pon buat apa? Pastu budget tak payah cerita la. Hauk gila kadang tu.

“Tak mengapa Hani. Ada hikmahnya tu. Tawaran kerja yang tidak mementingkan kepercayaan dan pendirian kita sememangnya tak berbaloi. Awak akan dapat tawaran yang lebih baik. Bakat dan nilai awak jauh lebih baik.

“Tak mengapa. Mereka yang rugi. Rezeki Allah itu luas,” antara komen-komen netizen.

Sebelum ini, Hani pernah mencipta sensasi apabila dipilih untuk mengacarakan program Asian TV Awards 2022 di Filipina dan bergandingan bersama Miss Universe 2018, Catriona Gray.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Twitter & Instagram Hani Fadzil

Published by
Aizam Manaf