Berita

“Merekalah Artis, Hero Kami…Ada Sanggup Turun Laut,” – Adly Rizal

Share

Penganjur Seafood Festival 20204 yang dibawakan khas oleh FriedChillies, Mohd Adly Rizal menyifatkan 15 vendor yang menyertai acara selama dua hari bermula hari ini di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur sebagai selebriti kepada penggemar hidangan berasaskan hasil laut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies & Kaki Makan itu, penganjuran Nasi Kandaq Fest 2023 yang viral sebelum ini menjadi pembakar semangat pihaknya untuk meneruskan acara berkonsepkan festival makanan namun kali ini mengetengahkan makanan laut (seafood).

“Bagi kami sebagai pencinta makanan, merekalah artis kami. Malah sebagai ‘hero’ kepada penggemar makanan berasaskan makanan laut (seafood) yang gigih berniaga siang dan malam.

“Malah, ada yang sanggup turun ke laut untuk mencari hasil laut yang segar demi acara ini. Jadi, inilah sebab kami mahu memperkenalkan mereka kepada semua. Itulah keunikan Seafood Festival 2024,” kata Adly.

Namun begitu, Adly mengakui kepentingan selebriti atau pempengaruh media sosial untuk tujuan pemasaran.

“Bagaimanapun, kami tidak menafikan pentingnya pengaruh selebriti sebagai salah satu rangka promosi, namun kami percaya adanya kelompok peminat makanan laut. Malah, kami sasarkan 15,000 pelanggan sepanjang dua hari berlangsung.

“Alhamdulillah, setakat ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” ujarnya.

Ditanya tentang pemilihan seafood untuk tarikan karnival makanan kali ini, Adly percaya ramai yang menggemari makanan yang berasaskan hasil laut.

“Kami sudah menganjurkan program seumpama ini lebih 10 tahun lalu. Kami bermula dengan perniagaan makanan nasi lemak, burger, ayam goreng, nasi kandar dan kami meneruskan acara dengan makanan hasil laut, Seafood Festival 2024.

“Orang rasa makanan seafood mahal, tapi untuk hari ini kebanyakan vendor kami menawarkan harga yang berpatutan namun masih mengekalkan kualiti terbaik.

“Malah, ada juga disediakan hidangan unik yang mesra muslim, kesemua 15 vendor menampilkan hidangan signatur tersendiri,” tambahnya.

Antara vendor yang terlibat dalam Seafood Festival 2024 ialah Kingu Kongu, Seafood spread dari Ombak Kitchen, Grill Haven, Ikan Bakar Bellamy, Sushika, Crispy Chippy, Top Catch, Bolok Troops, Udang Galah dari MRos dan oyster segar dari Penang Oyster Park.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH