Mesej ‘PKP Lagi Dan Lagi’ Uyaina Arshad Begitu Padu! “Satu Jari Kita Tuding, Tiga Kembali Tunjuk Pada Diri-Sendiri.”

Share

Satu pesanan khidmat masyarakat yang disuarakan pelakon dan hos, Uyaina Arshad mencuri tumpuan ramai.

Video berdurasi 1 minit 30 saat yang dikongsikannya melalui IG TV itu cukup padat mesejnya, antara lain meminta semua orang, dengan tidak mengira golongan untuk terus menjaga diri demi mengurangkan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

Memberi gambaran situasi semasa, pengacara program Wanita Hari Ini itu turut meminta ramai untuk tidak saling menuding jari.

“Menteri sudah dikeji, VVIP sudah dicaci. Selebriti sudah dimaki, golongan kayangan sudah dibenci. Sebab kes yang semakin meninggi. Memang golongan ini kuat mengundang kontroversi.

“Tapi rakyat Malaysia yang lain semuanya berintegriti? Tiada yang rentas daerah curi-curi? Mintak surat dari pak polisi, untuk memenuhi kehendak hati?

“Kalau iya, takkan lah lebih raya Pantai Timur sesak selepas Aidilfitri? Tak kan lah itu semua menteri dan selebriti.

“Satu jari kita tunding pada seseorang, tiga kembali tunjuk pada diri-sendiri. Jangan sibuk jaga tepi kain orang. Sampai diri-sendiri pun culas dan lupa diri,” katanya.

Uyaina pada masa sama turut mengakui pendapat yang dilontarkan itu bukanlah untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai peringatan untuk diri-sendiri juga.

“Tiada lagi zon hijau zon hijau di Semenanjung, abang. MAEPS dah tak cukup katil sekarang. Hospital Sungai Buloh pula simpan jenazah dalam kontena sebab tak cukup ruang.

“Yang ditakutkan bukan kes kematian, saudari. Tapi yang pulih dari Covid-19, dan hidup dengan komplikasi.

“Siapa makan cili, dia rasa pedas. Siapa yang pedas kata saya main cakap lepas. Rakyat marhaen mahupun golongan kayangan, saya bukan nak terus menyalahkan. Sekadar nak berikan peringatan juga kepada diri-sendiri.

“Tolonglah jaga SOP, kes semakin meninggi ni. Tak kanlah nak sambung PKP lagi dan lagi,” katanya lagi.

Sehingga kini, video berkenaan yang turut dikongsi ramai warga net dan sudah pun ditonton lebih sejuta kali bersama ribuan respon pelbagai yang ditinggalkan pada seksyen komen entri tersebut.

Foto: Instagram Uyaina Arshad

Published by
MH