Pelakon, Tasha Shilla,33, selamat bergelar tunangan kepada Muhammad Atiq Bin Idris, 33, yang bertugas dalam bidang kewangan di dalam satu majlis istimewa yang dilangsungkan di Aireka Event Space, Empire Damansara, pada Ahad.
Tasha atau nama sebenarnya, Natasha Sheila Abdul Razak dan pasangannya dijangka disatukan dalam tempoh terdekat.
Bintang filem Rock Oo! itu tampak manis mengenakan persalinan rona jingga cair dari PU3 Design menerima sebentuk cincin, tepak sireh serta beberapa hadiah sampingan lainnya.
Terdahulu Tasha dirisik pihak lelaki pada 1 Februari lalu.
Cincin pertunangan disarungkan ibu pihak lelaki, Puan Rahimah Yoep sambil diperhatikan ibu pelakon berkenaan.
“Alhamdulillah, saya sendiri tidak sangka majlis tunang kami berjalan dengan semeriah ini. Meski perkenalan kami boleh dikatakan singkat, tetapi saya bersyukur kerana sudah sampai jodohnya, terbuka hati.
“Rasa tenang dan bila bertemu dengan Atiq, saya dapat rasakan hadirnya cinta sejati apabila bertemu dengannya.
“Terima kasih juga kepada semua yang hadir dan majlis berjalan lancar seperti yang diharap-harapkan.
“Semoga segalanya akan dipermudahkan selepas ini, insyaAllah,” katanya yang bakal menjemput pihak media bagi meraikan majlis raja seharinya tidak lama lagi.
Difahamkan, majlis pernikahan mereka bakal dilangsungkan hujung bulan ini di ibu negara.
Sementara itu, Atiq ketika ditanya mengenai personaliti bakal isteri, menyifatkan bintang tersebut seorang yang baik dan memenuhi ciri-ciri wanita idamannya.
“Meski dia nampak garang pada luaran, tetapi hatinya sangat baik. Seorang yang lembut, sayangkan keluarga dan sukakan kanak-kanak.
“Dia juga menjaga solat dan kami saling kenal ketika dia melakukan satu majlis amal di Masjid Wilayah,” jelas Atiq jujur.
Pasangan sama cantik sama padan ini mulai menjalin hubungan rapat sejak Disember lalu menerusi rakan.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI