Mengakui lebih suka dengan penampilan rambut panjang, namun pelakon Nadhir Nasar sanggup untuk memotong pendek rambutnya demi memenuhi tuntutan watak.
Penampilan terbaharunya berambut pendek turut menarik perhatian peminatnya yang rata-rata menyukai imej tersebut.
“Hampir dekat dua tahun saya simpan rambut panjang. Saya suka dengan rambut panjang tetapi apabila dah potong pendek maksudnya it’s something serious coming in. Insya-Allah lepas raya ini akan mula penggambaran.
“Saya sanggup buat apa sahaja termasuklah botakkan rambut sekiranya memang itu naskah yang saya nak buat. Nak suruh saya jadi apa pun saya akan buat,” katanya.
Menurut pelakon berusia 26 tahun ini antara sebab dia suka menyimpan rambut panjang adalah kerana ia menampakkan seseorang itu kelihatan lebih matang dan berseni.
“Sejujurnya saya suka rambut panjang. Untuk saya imej rambut panjang lagi nampak matang dan berseni. Ala-ala macam Datuk M. Nasir dan Datuk Jamal Abdillah dulu.
“Lepas ini saya akan simpan rambut panjang balik lepas habis penggambaran,” kata Nadhir lagi.
Bakat Nadhir mula dicungkil selepas memenangi pertandingan Hero Remaja 2020 anjuran majalah Remaja.
Dikenali pelakon yang cukup berkarakter, kesemua naskhah lakonan Nadhir mendapat pujian ramai seperti I-Tanggang, Projek: Anchor SPM dan Nusyuz Berkiblat Cinta.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Nadhir Nasar