Pereka Itali jenama Dolce & Gabbana (D&G) berdepan dengan kritikan hebat di Shanghai, China berikutan kempen iklan terbarunya yang dikatakan ada hubung kait dengan isu perkauman.

Difahamkan, pereka fesyen itu sepatutnya melangsungkan ‘fashion show’ di Shanghai semalam. Bagaimanapun, ia terpaksa membatalkannya di saat akhir kerana berpunca dari masalah yang tercetus.

Kisahnya bermula awal minggu ini apabila D&G memuat naik tiga video di media sosial Instagram dan Weibo menunjukkan model Asia makan makanan Itali seperti pasta dan piza menggunakan chopstick.

Menurut media tempatan, Jing Daily, video tersebut mempunyai banyak kesalahan dari segi ‘tona dan juga rasa’. Tambahnya lagi, video itu juga turut merosakkan budaya China yang sudah berabad-abad lamanya dengan menggambarkan wanita cina secara stereotaip dan juga perkauman.

Dalam pada itu, penggunaan ‘chopstick’ dalam kempen itu juga dilihat tidak wajar dan biadap kepada kaum Cina.

Lebih memburukkan keadaan apabila DM antara Diet Prada dan Stefano Gabbana turut tersebar di media sosial, menunjukkan bahawa pereka fesyen itu tidak mengaku kesalahannya dan tetap dengan pendiriannya.

Ternyata ia lebih menambahkan kemarahan masyarakat. Namun pihak label fesyen berkenaan menjelaskan bahawa akaun Instagram itu telah digodam dan mereka sudah pun mengeluarkan kenyataan maaf.

Sebelum ini, D&G juga pernah berdepan dengan skandal sama pada tahun 2016 apabila salah satu koleksi kasut musim bunga/panasnya dikatakan sebagai ‘sandal hamba’.

Sumber: BBC & PinkVilla