Pertandingan Hero Remaja 2021 baru sahaja melabuhkan tirai sebentar tadi menyaksikan Mierul Aiman atau nama sebenarnya, Muhammad Amirul Aiman Norazman diangkat sebagai juara.
Dia menewaskan tiga lagi finalis dalam acara secara langsung yang dianjurkan selama sejam setengah itu.
Dengan kemenangan ini, Mierul Aiman menjadi juara Hero Remaja kesebelas mengikut jejak juara-juara terdahulu seperti Fattah Amin, Nadhir Nasar, Kamal Adli dan Alif Muhaimin.
Seiring dengan kemenangan ini, jejaka berusia 23 tahun itu membawa pulang wang tunai bernilai RM10’000, sebuah trofi dan selempang.
Tempat kedua dimenangi oleh Aqil Taqee. Merupakan pelajar dalam jurusan Diploma Sains Sukan, dia membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM7’000.00 berserta trofi dan selempang. Selain itu dia juga turut dipilih untuk memegang gelaran Hero Inspirasi bagi edisi kali ini.
Fazziq Muqris pula diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga. Dia membawa pulang wang tunai bernilai RM5’000, sebuah trofi dan selempang. Manakala, Afiq Hilman pula terpaksa berpuas hati dengan kedudukan di tempat keempat.
Untuk kategori Hero Favourite yang dipilih berdasarkan undian peminat menerusi laman web www.remaja.my
, Syazani Zainal yang merupakan peserta termuda berusia 19 tahun, mengungguli gelaran tersebut.Para finalis di pentas akhir Hero Remaja 2021 telah diuji daripada segi pengacaraan menerusi segmen ‘tribute to Mamat Khalid’ manakala daripada segi lakonan pula, mereka diuji menerusi persembahan sktesa masing-masing yang menampilkan pasangan pelakon seperti Wan Maimunah, Johan As’ari, Ruminah Sidek dan Wani Kayrie.
Penutup kepada penentuan bagi menentukan siapa pemenang pula diakhiri dengan segmen tradisi sejak dahulu lagi iaitu sesi soal jawab.
Penilaian prestasi dan markah mereka diberikan oleh juri tetap pertandingan ini, Scha Alyahya dan Datuk Rosyam Nor.