Penyanyi, Hael Husaini berharap orang ramai dapat lebih terbuka terhadap penggunaan perkataan ‘celaka’ di dalam lagu terbaharunya yang berjudul Diam.
Menurut Hael atau nama sebenarnya, Hael Husaini Razmi, perkataan tersebut telah lama disalah tafsir sehingga ramai yang menganggapnya sebagai bahasa kesat.
“Saya seorang yang akan mengkaji dahulu sebelum membuat sesuatu terutama sekali untuk menjaga sensitiviti rakyat Malaysia. Saya tahu batas-batasnya.
“Pada saya, perkaraan ‘celaka’ ini telah lama disalahgunakan dalam kehidupan seharian. Maksud ‘celaka’ ini sama seperti perkataan ‘malang’.
“Malah, perkataan ‘kecelakaan’ juga selalu digunakan dalam penyampaian berita. Saya minta maaf sekiranya perkataan itu agak kasar. Namun, kita harus melihat di dalam konteks yang lebih positif.
“Celaka didalam lagu ini merujuk kepada malangnya diri saya kerana dipertemukan dengan orang yang tidak sepatutnya di dalam hidup,” katanya kepada MH.
Hael berkata sedemikian ketika ditemui di majlis meraikan perlancaran album pertamanya yang berjudul Antonim (Part 1) yang berlangsung di The Bee, Kuala Lumpur pada Selasa.
Pada masa sama, bintang kelahiran Akademi Fantasia 2013 ini juga mendedahkan dirinya mahu menggunakan bahasa yang lebih jelas agar mesejnya sampai kepada pendengar.
Saya pernah nak gunakan perkataan ‘celaka’ dalam lagu-lagu sebelum ini cuma kali ini saya mengikut peredaran zaman.
“Saya mahu gunakan bahasa-bahasa yang lebih dekat dan berterus terang tentang mesej yang ingin disampaikan.
“Kalau lagu ini sedikit kasar, saya minta maaf. Malah, saya sendiri belum bagi keluarga mendengar lagu ini kerana takut mereka salah anggap.
“Tak mengapa. Kita cuba ubah industri muzik Malaysia supaya kita tidak membataskan penggunaan bahasa kerana bimbang ia disalahgunakan,” ulasnya lagi.
Bercakap mengenai pembikinan album, Hael menyifatkan pencapaian ini sebagai jerih payahnya bergelar anak seni sejak 17 tahun yang lalu.
“Impian saya untuk mempunyai album sendiri akhirnya menjadi kenyataan. Umum mengetahui, cara kerja saya memang sangat teliti.
“Saya akan pastikan setiap karya yang diterbitkan mampu memberikan impak. Apabila saya membikin album, saya mahu setiap lagu itu jadi penting dan bukan tempelan.
“Saya menghargai setiap lagu yang diberikan oleh produser dan komposer. Disebabkan itu, ia mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan,” akhirinya.
Terdahulu, Antonim (Part 1 ) memuatkam enam buah lagu seperti Diam, Sama Seperti Dulu, Kejora, Please, Usia dan Hero.
Album ini kini sudah pun berada di pasaran dan boleh didengar di seluruh platform penstriman.