Wany Hasrita mengakui dirinya percaya rezeki dan positif meski tuah tidak menyebelahinya untuk sekali lagi menggenggam trofi Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-32 (ABPBH32) baru-baru ini.
Tahun lalu, bintang yang baru sahaja muncul menerusi single duet bersama Datuk Jamal Abdillah berjudul Belenggu Rindu itu dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, mengetepikan calon kegemaran lainnya.
“Menang atau tidak itu adatlah di dalam sesebuah pertandingan. Tahun lalu rezeki saya dan tahun ini rezeki orang lain.
“Mungkin tahun depan rezeki saya balik, kalau tahun ini tidak berjaya ada yang lagi baik untuk saya, insyaAllah.
“Jadi saya percaya Dia ambil sesuatu dari kita untuk berikan yang lebih baik. Saya positif,” katanya yang mengakui dirinya tidak pernah meletakkan harapan tinggi andai dicalonkan menerusi mana-mana anugerah.
Mengulas mengenai kemenangan Mira Filzah yang meraih lebih enam juta undian peminat lalu dijulang sebagai bintang paling popular, Wany menyifatkan selayak bintang berusia 26 tahun itu diberikan pengiktirafan.
“Bagi saya Mira layak atas kemenangannya itu. Akhir-akhir ini pun peminat dapat lihat dia punya banyak naskhah lakonan dan pengacaraan.
“Bagi saya setiap individu tu, Tuhan sudah tetapkan rezeki masing-masing,” jelasnya lagi kepada MH.
Tahun lalu, Wany meraih undian tertinggi menerusi kategori Penyanyi Wanita Popular dengan lebih dua juta undian, mengejutkan ramai apabila menafikan kemaraan pencabar terdekatnya ketika itu, Khai Bahar.