Misha Omar Sporting Bawa Anak Tengok Konsert Billie Eilish, Sekarang ‘Menabung’ Untuk Konsert BTS Pula

Share

Kehangatan penganjuran persembahan pentas dan konsert kembali rancak selepas dua tahun terhenti akibat pandemik Covid-19.

Terbaharu, konsert penyanyi antarabangsa, Billie Eilish yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dibanjiri lebih 25,000 peminat setianya pada malam Khamis.

Penyanyi Misha Omar tidak ketinggalan berkongsikan momen anak sulungnya, Muhammad Adam Emir serta sepupunya yang menghadiri konsert tersebut menerusi muat naik di laman Instagram miliknya.

Secara berseloroh, Misha berkata dia tidak menyertai anaknya menonton konsert tersebut kerana sudah puas berseronok melayan konsert Anuar dan Ziana Zain yang diadakan pada 6 Ogos lalu.

“Cik Billie Billie Eilish, anak-anak Kak Mitch dengan Kak Mimie (kakak Misha Omar) pergi tengok konsert awak malam ni (Khamis) tau.

“Kak Mitch dengan Kak Mimie tak ikutlah sebab hari itu dah berdendang sakan dekat konsert kak Ziana & Anuar Zain.

“Lepas ini nak layan konsert Syamel-Ernie, lepas itu bulan November nanti nak tengok konsert Datuk M. Nasir dengan MPO pula.

“Hidup ni macam itulah dik…mak mak enjoy, anak pun kena enjoy,” tulis Misha.

Sementara itu, menerusi ruangan komen ada peminat yang mengajak Misha untuk pergi menonton konsert kumpulan K-pop popular, Blackpink yang bakal diadakan di Stadium Bukit Jalil pada bulan Mac tahun hadapan.

Misha memberikan respon dia kini sedang ‘menabung’ untuk membeli tiket konsert satu lagi kumpulan K-pop terkenal, BTS sekiranya mereka benar-benar akan singgah ke Malaysia untuk konsert jelajah nanti.

“Blackpink tak mahu, BTS akak (Misha) dah menabung untuk tiket kakak dan anak-anak,” balas Misha.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto:  Instagram Misha Omar

Published by
Juliana Johar