Mizz Nina; “Hidup Diteruskan, Saya Sangat Takut Jika Tidak Menggunakan Masa Yang Diberikan Allah Sebaiknya.”

Share

Nama Mizz Nina dan Noh Salleh menjadi trending di kebanyakan media sosial selepas mereka mengumumkan sudah bercerai pada Khamis lalu.

Rata-rata yang mengikuti kisah perkahwinan mereka terkejut dengan perpisahan pasangan yang disifatkan ideal oleh kebanyakan peminat.

Menerusi muat naik terkini di laman Instagram miliknya, Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, 42, mengambil kesempatan cuti hujung minggu membawa anak angkatnya, Musa bersiar-siar melihat pameran dan pesta lampu yang diadakan di ibu kota.

Dalam entri tersebut, Nina menulis curahan hati yang mana dia mengatakan hidup perlu diteruskan biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

“Hidup diteruskan, seperti apa yang salah seorang guru saya cakapkan baru-baru ini, kita mesti tawakal dan meletakkan kepercayaan kepada Allah SWT.

“Walau apa pun yang terjadi dalam hidup, Allah tahu apa yang terbaik serta akan memberikan yang terbaik buat kamu.

“Kita hanya perlu meneruskan kehidupan dengan sebaiknya dan tidak ditenggelami dengan rasa sedih sehingga membuatkan kita takut untuk menempuh hari mendatang dengan menjadi kurang aktif dan produktif.

“Saya sangat takut jika tidak menggunakan masa yang diberikan Allah kepada saya dengan sebaiknya, sekiranya saya terbawa-bawa dengan emosi negatif,” tulisnya.

Bekas ahli kumpulan Teh Tarik Crew itu juga turut berterima kasih di atas doa dan kasih sayang yang telah diberikan semua buat dirinya.

“Alhamdulillah atas doa dan kata-kata semangat serta sokongan anda.   Semoga Allah membalas dan mengurniakan kalian dengan lebih banyak kasih sayang, barakah, perlindungan dan kejayaan dunia serta akhirat,” tulisnya lagi.

Nina dan Noh yang juga merupakan vokalis kumpulan Hujan, mendirikan rumah tangga pada 1 Julai 2011.

Pasangan itu mengambil keputusan untuk berpisah secara baik selepas 11 tahun hidup bersama.

Pada Mac lalu, Nina dan Noh mengumumkan mereka mengambil anak angkat yang diberi nama Musa.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto: Instagram Mizz Nina

Published by
Juliana Johar