Penyanyi dan pelakon Aliff Aziz mengakui dia ada menerima beberapa tawaran lakonan selepas lama tidak muncul di kaca televisyen dengan nakshah terbaru.
Namun menurut Aliff, dia memilih untuk tidak mengambil sebarang pelawaan tersebut buat masa sekarang bagi memberi fokus kepada Gegar Vagaza musim kelapan (GV8) yang kini sudah memasuki peringkat suku akhir.
“Alhamdulillah saya adalah terima beberapa tawaran daripada pihak produksi. Namun saya beritahu mereka dengan cara baik, perlu fokus dengan GV terlebih dulu.
“Bukan apa, kadang-kadang kalau kita nak buat satu benda pada satu masa, bimbang badan jadi terlalu letih. Nanti akan timbulkan masalah. Tapi mereka menghormati apa saja tumpuan saya pada masa ini. Insya-Allah selepas ini saya akan kembali,” katanya kepada MH.
Ditanya mengenai penerimaan positif daripada penggiat seni yang masih percaya dengan bakatnya dalam dunia nyanyian dan lakonan, suami kepada pelakon Bella Astillah ini terharu dan bersyukur.
“Tapi syukur, terima kasih kepada rakan-rakan dalam dunia lakonan kerana masih lagi ingatkan saya. Moga kita dapat bekerjasama lagi selepas ini.
“Saya rasa sangat terharu sebab bila sekali diimbas mengenai kehidupan saya beberapa tahun lalu, Allah berikan ujian di sebalik kelemahan di mana saya lalui fasa mencabar.
“Jadi bila diberikan peluang untuk kembali buat persembahan atas pentas besar seterusnya dapat tawaran lakonan, saya tiada kata-kata. Sangat bersyukur dan gembira. Ini berkat doa yang baik-baik daripada semua juga, insyaAllah,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.