Berita

“Moga Rezeki Yang Dikongsi Dapat Beri Pahala Buat Arwah Mak & Ayah,” – Putra Amaris Tak Lelah Buat Bakti, Kali Ini ‘Tag Team’ Dengan Tyzo

Share

Membaca dan mendalami kepayahan hidup yang dialami masyarat sekeliling nyata menjentik hati pelakon, Putra Amaris untuk berkongsi rezeki bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.

Bagi Amaris, dia percaya setiap rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT itu bukan hanya usaha diri sendiri, sebaliknya adalah berkat orang ramai yang banyak memberi sokongan dalam perniagaan serta kerjaya seni.

Justeru mengambil iktibar dari banyak kisah masyarakat, sejak tahun 2020 Amaris mula menggerakkan program ‘Share Rezeki’ yang juga secara tidak langsung menjadi ibadah infaq sempena menyambut keberkatan bulan Ramadan.

“Kita banyak mendengar kisah orang hidup susah menerusi laporan media atau yang tular di media sosial. Dari situ saya mula terfikir untuk lakukan sesuatu agar rezeki yang dimiliki ini juga dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang.

“Sekurang-kurangnya sedikit pemberian ini juga dapat memberi senyuman buat mereka yang memerlukan. Bahkan mereka juga sama-sama dapat merasa nikmat Ramadan seperti kita yang berkemampuan.

“Tahun ini saya teruskan lagi program Share Rezeki yang pernah dilakukan empat tahun dahulu,” katanya. Ketika ditemui pada majlis pelancaran Share Rezeki 2024: Amaris x Tyzoxander, di Shah Alam, baru-baru ini.

Turut sama hadir bagi menyokong usaha murni ini termasuk penyanyi Mas Idayu dan Datuk Fizz Fairuz.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Amaris bersama pasukan pengurusan, Rarekynd Malaysia sudah mula mengenal pasti golongan yang memerlukan termasuk rumah-rumah kebajikan sebagai penerima sumbangan.

Malah dia juga turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat ternama untuk sama-sama berkongsi menghulurkan bantuan bagi menggerakkan misi ini.

Bukan itu sahaja, dia turut mengajak rakan-rakan artis yang mahu melakukan amal kebajikan.

“Menariknya tahun ini saya turut mendapat kerjasama beberapa syarikat bumiputera. Bukan itu sahaja, saya juga membuka peluang kepada rakan artis sekiranya mereka mahu melakukan kebajikan sempena Ramadan.

“Saya percaya ramai golongan yang berkemampuan mahu menghulurkan bantuan namun tidak dapat berbuat demikian atas beberapa faktor kekangan. Jadi program Share Rezeki ini boleh menjadi orang tengah untuk mereka,” jelasnya.

Program yang digerakkan oleh Rarekynd Malaysia ini, turut mendapat kerjasama pihak lain termasuk adalah Minyak Bidara Paklong Man (penaja utama), Adabi, Hardamawt dan Westplate Factory.

Tambah Amaris, kejayaan sebelum ini juga telah mendorong dia untuk menjadikan program sebegini sebagai acara tahunan atau mungkin boleh dilaksanakan sepanjang tahun.

Istimewa juga dalam program tahun ini Amaris turut bekerjasama dengan penyampai radio, Tyzo Xander menerusi Pertubuhan Kasih TYZO.

“Siapa tahu program ini akan dijalan sepanjang tahun dan tidak hanya tertumpu kepada bulan Ramadan sahaja.

“Rezeki dapat bekerjasama dengan Tyzo. Memang hasrat dalam hati nak bekerjasama dan dengan izin Allah ia dipermudahkan. Kami berhubung dan dia juga mahu melakukan program sama.

“Bermula daripada sekadar borak kosong, kemudian pertemua di kedai kopi akhirnya kami setuju untuk sama-sama menggerakkan progam ini,” ujarnya lagi.

Berkongsi lanjut, menurut Amaris setiap perancangan yang dilakukan pasti akan ada cabaran.

Dalam masa sama dia juga berdepan dugaan terbesar kehilangan ibu tercinta iaitu Allahyarham Hajah Hasnah Sahli yang meninggal dunia pada 18 Februari lalu.

“Cabaran datang bersilih ganti. Saya juga baru kehilangan ibu baru-baru ini. Bagaimanapun saya tidak mahu kesedihan yang dilalui menjadi penghalang untuk melaksanakan program ini.

“Semoga dengan rezeki yang dikongsi ini juga dapat memberi pahala buat arwah ibu dan ayah. Doa-doa mereka ini semua akan menjadi bekalan buat kita semua juga,” jelasnya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH