Hiburan

Mokhzani Ismail Sangkal Dakwaan Ada Penjurian Awal Di AJL38, Ulas Kemenangan Lagu Hasrat

Share

Ketua juri Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), Datuk Mokhzani Ismail menyangkal dakwaan berlakunya proses penjurian awal bagi menilai lagu-lagu yang bertanding di AJL38.

Menurut Mokhzani, dia dan para juri hanya mengadakan sesi pra dengar untuk memberikan gambaran mengenai lagu-lagu yang akan bertanding.

“Apabila kita menjurikan AJL, ia bukan sekadar mendengar. Kalau mendengar, kita masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kami mengupas lagu-lagu tersebut dalam bentuk notasi.

“Kebiasaannya, kita ada sesi ‘pra dengar’. Desas-desus yang mengatakan ada penjurian awal itu tidak benar. Sebagai ketua juri, saya menyangkal dakwaan itu,” katanya kepada MH.

Mokhzani berkata sedemikian ketika ditemui ketika sesi sidang media AJL38 yang di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.

Katanya lagi, sesi pra dengar ini sangat penting buat para juri agar mereka dapat memberikan markah yang tepat buat lagu yang bertanding.

“Ketika ‘pra dengar’, kami akan kupas dari segi notasi supaya para juri faham tentang kaedah, format, struktur, chord, perubahan sususan dan genre lagu.

“Hal ini sangat penting kerana kita menjurikan lagu yang pelbagai genre. Jadi, ketika sesi pra dengar ini, para juri diberikan tanggungjawab supaya malam AJL nanti, kita mendapat jawapan yang tepat.

“Kalau tak buat pra dengar, kita hanya ada masa yang sangat suntuk untuk menjurikan 12 buat lagu selepas semua persembahan selesai.

“Mustahil nak buat penjurian awal. Dari segi melodi mungkin boleh tapi kita ada kritiria yang perlu diikuti seperti lirik, gubahan dan vokal.

“Vokal pula, ada yang berbeza penyanyi daripada audio sebenar dan malam persembahan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mokhzani turut mendedahkan lagu Hasrat telah diangkat sebagai juara kerana gubahan melodi dan lirik yang saling melengkapi.

“Kami bukan menidakkan keupayaan lagu lain tapi Hasrat berada di tahap yang lebih tinggi. Saya masih terngiang-ngiang dengan naskah ini sejak daripada semi-final.

“Lagu itu senang dinyanyikan dan ‘catchy’ tapi berada dikedudukan terbaik dari segi garapan melodi dan lirik. Ditambah pula dengan persembahan orkestra.

“Jadi, para juri bersetuju untuk meletakkan Hasrat di tempat teratas. Tapi markahnya tidak jauh beza dengan lagu Sutera dan Jangan Mati Rasa Itu.,” akhirinya.

Terdahulu, lagu Hasrat nyanyian Amir Jahari telah dinobatkan sebagai pemenang AJL38 seterusnya menewaskan 11 lagu yang turut bertanding.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf