Penyanyi Min Yasmin yang sukses membina kerjaya seni di Filipina sejak beberapa tahun lalu tidak menafikan penghargaan yang diterima peminat di sana sebagai satu momen yang tidak boleh dijual beli.
Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, 33, berkata, dia juga pernah dikawal tentera tempatan sebagaimana yang dipaparkan menerusi muzik video lagunya berjudul Belum Lelah Setia.
“Saya selalu cakap pada suami, momen dihargai di sana memang betul-betul lain, berbeza. Ia sangat berharga, mungkin saya sendiri tidak dapat merasai situasi sedemikian di tempat lain setakat ini.
“Misalnya ketika baru sahaja mendarat di lapangan terbang, mereka sudah setia menanti. Siap dengan sepanduk yang besar. Sanggup ‘print’ poster dan sebagainya. Malah saya pernah diiringi kawalan tentera.
“Ada wakil media tempatan sebelum ini yang pernah datang menonton persembahan saya di sana tahu akan situasi itu. Mana-mana bergerak, akan ada yang kawal. Boleh lihat dalam muzik video lagu Belum Lelah Setia. Itu hanya kunjungan saya melawat pulau-pulau sekitar. Awalnya memang tak rancang untuk dilakukan muzik video.
“Kalau ada kawalan, biasanya dalam 15 hingga 20 tentera yang kawal jika ia melibatkan kawasan pulau, dengan pihak marin lagi. Memang mereka kawal betul-betul,” katanya.
Bersyukur atas sambutan baik yang diterima, isteri kepada komposer terkenal, Julfekar ini juga mendedahkan dia ditawar jet peribadi untuk bawanya ke Filipina bulan lalu.
“Jujurnya kebelakangan ini saya sudah ada terima beberapa undangan nyanyian di sana. Malah akhir tahun lalu, ada pihak yang sudi ambil saya di Sabah dengan jet peribadi untuk satu persembahan makan malam.
“Tidak dinafikan, industri muzik di sana adalah bisnes yang besar. Namun selama saya terima jemputan untuk membuat persembahan di Filipina, saya tidak pernah sebut harga.
“Selalunya penganjur akan kongsi berapa bajet mereka terlebih dulu. Ada sebahagian bayaran persembahan diterima dalam US Dollar dan ada juga dalam nilai Peso,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Min yang kini muncul dengan album berjudul Min Yasmin: World On A String bakal mengadakan konsert Min Yasmin Live In Sandakan pada 11 dan 13 Mac depan di dua lokasi berbeza.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini