“Muka Macam Daddy, Special Sangat Hadiah Dari Ibu,” – Shuib Syukur Nikmat Dapat Jengok ‘Baby Boy’, 3 Jam Yang Bermakna

Share

Pelawak dan usahawan, Shuib meluahkan rasa syukur susulan dapat bertemu dengan anak bongsunya, Ayash Affan selepas lebih sebulan dilahirkan.

Memaklumkan perkara itu menerusi ruangan Insta Story miliknya, Shuib mendedahkan dia berkesempatan untuk meluangkan masa selama tiga jam bersama Ayash, petang Isnin.

Apa yang syahdu, Shuib turut menulis coreta sebagai tanda rasa rindu buat arwah isteri, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

Dia turut mengucapkan terima kasih atas hadiah istimewa yang diberikan isteri tercinta buat kali yang terakhir.

“SubhanAllah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Nikmat yang cukup indah bila dapat luangkan masa 3 jam dengan AYASH AFFAN.

“Syukur, AYASH sihat, berat dah 2.6kg, menyusu kuat dan comel sangat-sangat. Muka macam Daddy la Ibu.

“Memang special sangat Hadiah dari Ibu. Allahuakbar. I wish U are here Sayang. I LOVE U,” tulis Shuib.

Menerusi platform sama, Shuib sebelum ini turut memberitahu kepada peminat dia diizinkan untuk bertemu anak keempatnya itu dan menyifatkan ia sebagai hadiah ulang tahun yang paling istimewa.

Shuib kehilangan isteri tercintanya itu yang meninggal dunia akibat Covid-19 selepas ditidurkan dan selamat melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan pada 6 Ogos lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan terbaru, Ayash.

Published by
MH