Pengacara dan pelakon Akhmal Nazri, 29, selamat mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya, Alyssa Joanne, 28, pada 31 Disember lalu.
Sudah lebih empat tahun mengenali hati budi masing-masing, pasangan itu selamat dinikahkan di Pejabat Agama Islam Daerah Sepang.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Kami hanya bernikah di pejabat agama, selepas itu kami mengadakan majlis doa selamat bersama 30 orang ahli keluarga terdekat sahaja di Cyberjaya.
“Insya-Allah, resepsi bakal di adakan di Sarawak dan Perak selepas sambutan Hari Raya nanti, tetapi semuanya mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP).
“Saya sudah lebih empat tahun mengenali hati budi Lyssa. Kami mula berkenalan ketika saya mengacarakan sebuah program di stesen TV berbayar.
“Ketika itu, dia menjadi tetamu untuk program terbabit. Kami mula rapat dan menjalin cinta. Saya melamarnya pada hujung November 2019 dan bertunang pada 25 Disember 2019.
“Alhamdulillah, biarpun pandemik COVID-19 melanda tahun 2020, segalanya dipermudahkan dan apa yang penting, kami sudah menyelesaikan apa yang wajib,” katanya.
Sedang berbulan madu di Pulau Langkawi, pasangan ini tidak mempunyai sebarang perancangan mengenai cahaya mata.
“Soal anak, kami serahkan kepada rezeki. Kalau boleh, saya nak enam orang anak tetapi semuanya kami serahkan kepada ketentuan takdir.
“Kerjaya seni saya selepas ini juga berjalan seperti biasa. Isteri pula masih berkhidmat sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan. Doakan kami murah rezeki selepas berkahwin,” katanya lagi.
Menurut Alyssa yang pernah menyertai AF2015, dia menempuhi dugaan sebelum bergelar isteri.
“Saya berasal dari Sarawak dan keluarga saya berada di sana. Mereka boleh terbang ke sini, tapi SOP agak ketat apabila keluarga saya mahu kembali pulang ke sana.
“Mereka harus menjalani kuarantin dan ujian calitan. Sebenarnya, saya sedih apabila keluarga tak dapat datang untuk menyaksikan hari bahagia kami,” katanya.
Tambah Alyssa, dia berharap agar pandemik dapat dikawal atau cepat berlalu pergi agar mereka dapat kembali sebagai satu keluarga.
“Mereka hanya saksikan kami menerusi panggilan video sahaja. Memang dugaan itu membuatkan saya agak sedih tetapi insya-Allah kami akan bersatu semula apabila keadaan kembali tenang,” katanya lagi.