Barangkali mungkin ramai yang mulai perasan penampilan pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan kini yang lebih selesa mengenakan pakaian yang lebih longgar, seiring dengan kematangannya sekarang.
Berkongsi mengenai hal tersebut kepada MH, ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui sudah mulai ‘ubah selera’ terhadap gaya penampilan yang sedemikian sejak awal tahun lalu.
“Mula rasa tak mahu sekadar balut aurat. Sejak awal tahun ini. Saya dah mulai rasa selesa kenakan pakaian atau gaun yang longgar. Mula-mula Zain tegur. Dia kata eh, you pakai macam ni? Lepas tu lama-lama sudah okay,” katanya yang turut menjual baju-baju lamanya.
Malah, pelakon Kiah Pekasam ini turut menambah, perasaan tersebut datang secara perlahan-lahan, termasuk pengaruh sekitarnya.
“Bukan secara tiba-tiba, tetapi kalau nak diikutkan beberapa tahun dulu medium untuk kita belajar agama itu agak terhad, tetapi sekarang dari mana-mana pun kita boleh belajar misalnya menerusi media sosial.
“Follow saja akaun sedemikian dan daripada situ kita secara tidak langsung boleh belajar. Tahu apa yang salah dan betul. Secara perlahan-lahan saya cuba belajar dan cuba praktiskan.
“Bila kita nak berhijrah kena ada kawanan sekeliling yang betul. Misalnya kalau ada yang pasang niat untuk bertudung, kita kena kawan dengan mereka yang pakai tudung supaya kita lebih istiqamah,” jelasnya.
Ditanya mengenai caranya untuk lebih istiqamah selepas ini, Che Ta punya jawapan sendiri.
“Bila adik beradik lain pun dah pakai tudung, kita mula nak buat pakai ikut cara yang betul. Masing-masing pun cuba betulkan mana yang patut.
“Mungkin mula-mula tu rasa malu tapi kalau kita selalu buat, lama-lama suka. Sama ada kita iklhas atau tidak, tutup aurat adalah wajib. Perlahan-lahan iklhas itu akan datang,” akhirinya.
Foto: Instagram Rozita Che Wan