Pelakon Didie Alias mendedahkan anak keempatnya, Nur Dayini, 23, didapati positif Covid-19 pada Rabu dan kini sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Semalam.
Didie, 49, menjelaskan, sebelum itu dia bersama adiknya menjaga bapa mereka, pelakon Ridzuan Hashim di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat paru-paru berair sebelum didapati positif wabak berkenaan.
Selain Dayini, Ridzuan turut didapati positif Covid-19.
“Dua orang anak saya memang menjaga bapa mereka beberapa hari sebelum berpuasa akibat serangan jantung tapi sudah dibenarkan pulang rumah selepas keadaannya baik.
“Tiba tiba bapa mereka diserang kali kedua dan dia beradik itu turut menjaga di hospital, tidak ada kena mengena dengan Covid-19. Akan tetapi, tiba-tiba dapat tahu ada yang dijangkiti.
“Bekas suami lakukan ujian calitan dan didapati positif. Selang dua tiga hari, anak saya yang keempat mulai demam dan tekaknya kering. Dia juga positif selepas melakukan ujian calitan,” jelasnya yang turut memberitahu anaknya itu telah dihantar ke Maeps dua hari lalu.
Ditanya mengenai keadaan terkini anaknya itu, Didie yang kini muncul single berjudul Tap Tap Love bersyukur kerana Dayini kian pulih.
“Alhamdulillah, keadaan dia bertambah baik cuma dia ada mengadu rindukan alat-alat tulis di rumah. Syukur juga, bapanya sudah pulang ke rumah selepas jalani kuaratin di Hospital Sungai Buloh.
“Keadaan bapa dia pun semakin baik cuma masih jalani kuarantin di rumah. Ini merupakan dugaan terbesar di bulan Ramadan.
“Tambahan lagi, ketika acara Raya Bersama Che Salmah sedang berlangsung. Malah beberapa hari sebelum ini, akaun Instagram saya yang mempunyai lebih 500,000 pengikut juga digodam.
“Tapi beberapa lalu saya sudah mendapatkan akaun berkenaan semual dengan bantuan pihak SRC Records. Saya anggap ini ujian. Insya-Allah ada hikmah atas segala apa yang berlaku,” katanya.
Didie pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ridzuan Hashim pada tahun 1991 namun berpisah pada tahun 2000.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Nurdhaniyah, Muhammad Dhanial, Nur Dinie, Nur Dayini Ahza, dan Nur Diyana.
Pada Mei 2009, Didie mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Norisham Ismail.