Meskipun sudah menunjukkan perubahan menerusi persembahan sehingga meraih komen positif pihak juri, namun ia masih belum cukup untuk menyelamatkan Ifa Raziah daripada menjadi peserta pertama tersingkir di program realiti, Terpaling Juara.
Menurut Ifa, dia akur dengan keputusan tersebut kerana merasakan dirinya sudah memberikan yang terbaik sepanjang menyertai program terbabit.
“Saya akur tersingkir pada minggu ini. Tadi Datuk Hattan ada berjumpa dengan saya dan dia mengatakan, undian online saya rendah tetapi markah daripada pihak juri adalah tinggi.
“Mungkin para peminat saya semua hadir ke sini malam ini dan mereka tak sempat nak mengundi. Bagaimanapun, saya dah buat yang terbaik. Saya dah kata sejak awal, sama ada tersingkir atau mara ke pusingan akhir, saya tetap Ifa Raziah.
“Rezeki Allah itu luas dan bukan di sini sahaja. Dekat luar sana ada banyak lagi rezeki lain. Mungkin Allah nak tunjuk yang perjalanan saya hanya sampai di sini sahaja tapi dia nak bagi lebih lagi daripada apa yang saya dapat di sini,” katanya kepada MH.
Ifa yang membawakan lagu Purnama dendangan asal kapten pasukannya, Naim Daniel berkata sedemikian selepas tamat saingan Terpaling Juara, malam tadi.
Katanya lagi, dia akan meneruskan kerjaya seninya seperti biasa walaupun ada pihak yang bergembira dengan penyingkirannya itu.
“Semua ini bukan pengakhiran tetapi satu permulaan yang baru dan baik untuk saya. Mungkin ada yang ketawa, bertepuk tangan atau bersorak kerana saya tersingkir tatapi ia tidak mematahkan semangat saya.
“Saya tetap di sini, berdiri teguh dan masih relavan di dalam industri. Orang masih lagi memanggil saya untuk buat persembahan, berlakon dan mengacara. Yang ketawakan saya itu, hidup mereka masih sama sahaja.
“Saya okay sahaja bila ada orang yang tak suka atau membenci saya. Saya berterima kasih kerana mereka ini yang memberikan promosi percuma kepada saya.
“Terima kasih kerana kini saya makin dikenali, diperkatakan dan dipertikaikan. Reda itu penting. Kalau tak reda, hati kita tak akan tenang,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ifa turut menyifatkan minggu ini sebagai minggu yang penuh hikmah di dalam hidupnya.
“Saya sifatkan minggu ini sabagai minggu yang penuh hikmah. Pertama, saya dapat mengenali guru vokal, Shaffiq Erwin secara lebih dekat. Saya juga minta dia sendiri untuk betulkan kelemahan nyanyian saya.
“Yang kedua, pendakwah, Ustazah Asma Harun datang sendiri berjumpa dengan saya setelah menyelar diri saya sebagai seorang yang istijraj. Seorang pendakwah datang memohon maaf kepada saya.
“Mungkin pada mata orang saya ini hina tapi mungkin tidak dipandangan Allah SWT,” akhirinya.
Terdahulu, pada konsert minggu keempat ini, penyanyi, Hazami seakan bangkit daripada tidur apabila persembahan mantapnya menerusi lagu Mewangi dipilih sebagai persembahan terbaik sekaligus membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000.
Terpaling Juara dihoskan oleh gandingan pengacara Shiha Zikir dan Haziq Hussni manakal posisi juri tetap pula disandang oleh dua penyanyi lagenda tanah air iaitu Datuk Hattan dan Fauziah Latif.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram TV3