“Mungkin Dia Sendiri Pun Sedar Isterinya Tak Berapa Cantik,” – Yang Penting Kata Ayu Damit, Mereka Bahagia!

Share

Penyanyi dan usahawan, Ayu Damit mengakui pada zaman awal penglibatannya dalam bidang seni sejurus menjuarai pertandingan realiti One In A Million musim kedua, ada pihak yang agak skeptikal terhadap dirinya.

Semuanya gara-gara dia dikatakan tidak cantik, berkulit gelap hingga pernah diberi pelbagai gelaran yang tak sedap didengar.

Bagaimanapun, penyanyi Hanya Di Mercu ini cuba positif dan cuba untuk tidak rasa ‘sakit’ dengan setiap cemuhan dan kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya.

Bagi Ayu setiap individu punya keistimewaan yang boleh dibanggakan.

“Bohong kalau saya tak pernah dengar ada pihak yang pernah samakan saya dengan macam-macam perumpaan. Cuma saya ambil itu sebagai suatu pembakar semangat. Tak adalah rasa down pun.

“Teguran yang diterima itu saya tukar dan cuba ubah untuk jadi yang lebih baik sebab saya pun tahu, penampilan pun penting bila bergelar selebriti.

Belakangkan apa yang orang cakap sebab kalau kita ambil pusing benda tu, kita tak kan kemana pun,” tegasnya kepada MH.

Ditanya apakah reaksi suami bila hal tersebut diperkatakan, Ayu memberitahu suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin merupakan tulang belakang dan penyokong kuatnya.

“Mungkin dia sendiri pun sedar isterinya tak berapa cantik, jadi dia pun banyak kongsi pandangan, khasnya dalam soal penampilan.

“Tapi alhamdulillah, cantik atau pun tidak, kami masih bahagia,” katanya yang turut menambah pihak pengurusannya uturut sama memberi idea mengenai feysen dan sebagainya.

Terdahulu, Ayu ditemui media pada pertandingan akhir Look of Plus Size 2019 (LOPS2019) yang berlangsung dengan jayanya di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pertandingan yang berada di bawah payung Xtravaganza Management hasil cetusan idea tujuh sekawan itu mempunyai okjektif memperkasakan wanita bersaiz XL dalam ekspresikan diri sekali gus berdiri setara dengan para wanita lainnya.

“Jujurnya, cantik itu subjektif dan saya tidak melihat mereka yang bersaiz besar tidak boleh melakukan apa yang mereka mahu seperti individu lain.

Jadi saya sokong 100 peratus LOPS2019. Sebab kalau di peringkat antara bangsa sekalipun, ada juga bintang bersaiz XL yang bersinar, malah lebih berjaya.

“Begitu juga dalam industri hiburan tempatan kita. Jadi rasanya isu diskriminasi fizikal itu sudah tidak relevan kini memandangkan masing-masing ada kelebihan sendiri,” jelas Ayu.

LOPS edisi pertama telah dimenangi oleh Syamim Arshad, tempat kedua disandang  Siti Naila Sekandar dan Nur Hafizah Abdul Latiff pula di tempat ketiga.

Sementara itu, enam orang dari 20 finalis bertanding telah berpeluang menggayakan persalinan pereka Azhar Zainal di bas Hop On Hop Off baru-baru ini.

Selain Ayu, turut sama meraikan LOPS2019 akhir ialah Mafarika dan Azharina. Tahniah buat semua yang bertanding dan team LOPS2019 dari MH.

Foto: Azrul Rafie

Published by
Rafiq Mazlan