Sudah melayari bahtera perkahwinan selama tiga tahun, penyanyi Hazama dan isterinya, pemuzik Genervie Kam tidak berputus asa sekiranya belum dikurniakan cahaya mata.
Mendirikan rumah tangga pada pada 15 Januari 2017 lalu, keduanya juga tak mudah melatah apabila ditanya mengenai soal zuriat.
Malah, mereka juga percaya rezeki dan masing-masing bersikap matang atas hal yang berlaku.
“Saya bersyukur dan berserah pada qada dan qadar. Sekiranya Allah nak beri saya anak, saya gembira. Jika Dia tak bagi lagi buat masa ini, adalah sebabnya.
“Mungkin Allah tahu saya dan isteri masih belum bersedia menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa. Saya tidak mahu jadikan anak itu sebagai satu trend.
“Apabila tiba masa yang tepat, mungkin Allah akan hadiahkan kami zuriat ,” katanya kepada MH.
Bintang berusia 35 ini berkata demikian ketika ditemui pada sesi mempromosikan filem terbaharunya, Rock 4: Rocker Never Dai.
Pada masa sama Hazama atau nama lengkapnya, Hazama Ahmad Azmi berkata, bergelar bapa bukanlah sesuatu tugas yang mudah kerana ia melibatkan zuriat dan darah daging sendiri.
“Pada awal perkahwinan, bukan sebab saya nak anak, tetapi saya saya sangat mencintai isteri saya. Anak itu adalah bonus. Lain pula tanggungjawabnya pada isteri dan anak.
“Sekiranya saya patut dapat anak, alhamdulillah. Jika saya tak dapat anak sekali pun, saya tetap reda dengan ketentuan Illahi.
“Jadi, apa yang saya lakukan sekarang ini saya gembira dengan kehidupan saya kini,” jelasnya.
Sinonim dengan lagu Malaikat, Hazama akui lebih selesa hidup berdua bersama isteri dan kurang mengalami tekanan.
“Setiap pasangan masing-masing ada kelebihan. Macam saya yang masih belum dikurniakan zuriat lagi, banyak meluangkan masa bersama isteri untuk kemana sahaja dan kurang mengalami tekanan.
“Berbeza pula dengan pasangan yang sudah dikurnikan zuriat, tugasan dan cabaran mereka sangat besar kerana perlu menggalas tanggungjawab yang hebat dalam mengurus dan menjaga anak.
“Malah, mereka lebih banyak berfikir dan kebanyakkannya lebih tertekan,” katanya optimis.
Dalam perkembangan lain, Hazama bakal muncul dalam filem Rock 4: Rockers Never Dai arahan Mamat Khalid yang akan ditayangkan pada 20 Februari ini.
Melakonkan watak Omar dalam filem bergenre komedi, antara barisan pelakon seperti Sharwani NS, Hazama, Adam John, Bulan Terry, Nazimi Fahmi dan penampilan khas oleh Dato’ Awie, Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Kamarool Hj Yusof dan ramai lagi.
Video/Foto : Youtube Primeworks Studios – Film, Instagram Hazama
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI