Hiburan

“Mungkin Itu Hanya Di Mata Mereka,” – Ziana Zain Tak Anggap Diri ‘Diva’, Selesa Bawa Diri Seperti Orang Biasa

Share

Meskipun mempunyai pengalaman lebih dua dekad sebagai insan seni, penyanyi Ziana Zain enggan terlalu terbawa-bawa dengan gelaran ‘diva pop’ yang diberikan peminat.

Menurut Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, gelaran tersebut mungkin diberikan peminat diatas dedikasinya ketika bekerja terutamanya dalam aspek imej dan persembahan.

“Saya tak pernah merasakan diri saya seorang diva. Sesiapa yang berikan gelaran itu, mungkin di mata mereka saya nampak seperti diva. Saya tak pernah nampak diri saya seperti itu.

“Saya hanya nak menyanyi sahaja. Mungkin mereka yang melihat saya sepanjang bergelar penyanyi atau ketika membuat persembahan di atas pentas, saya amat mementingkan pemakaian dan kualiti persembahan.

“Kalau itu gelaran yang diberikan peminat, saya sangat bersyukur. Bukan mudah nak menjadi seorang diva.

“Kita kena sentiasa tunjukkan yang terbaik dari hujung rambut hingga hujung kaki. Saya juga amat mementingkan soal penampilan,” katanya kepada MH.

Penyanyi Lagu Putus Terpaksa itu berkata sedemikian ketika ditemui selepas selesai acara Ziana Zain Konsert 2024, baru-baru ini.

Katanya lagi, dia juga lebih selesa membawa diri sebagai individu biasa dan tidak merasakan dirinya lebih istimewa berbanding orang lain.

“Sejujurnya, ketika ini, kalau saya di luar, saya tak pernah merasakan diri saya terkenal atau artis lagenda.

“Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kerana Allah hadirkan perasaan itu. Saya takut kalau saya anggap diri ini terlalu besar, saya tak mampu nak galas.

“Saya masih merasakan diri ini seperti orang biasa. Personaliti saya yang anda lihat di luar adalah Siti Roziana Zain tapi bila di atas pentas, saya adalah Ziana Zain,” ujarnya lagi.

Terdahulu Ziana Zain Konsert 2024 telah berlangsung dengan jayanya di Megastar Arena, Kuala Lumpur dan dihadiri lebih 5000 peminat setia pada Sabtu lalu.

Katanya lagi, meskipun pada awalnya dia agak meragui kemampuan diri sendiri, namun, inpirasinya hadir selepas melihat rakan-rakan seangkatan berjaya menjayakan konsert solo.

“Bayangkan pada usia Ella sekarang, dia masih mampu buat persembahan yang kita sifatkan sebagai ‘around the world’. Siti Nurhaliza pun tidak kurang hebatnya.

“Semangat mereka itu memberikan inspirasi kepada saya untuk sama-sama menjayakan konsert bagi merancakkan industri seni tanah air dan ubat kerinduan peminat.

“Alhamdulillah hajat saya tercapai. Saya juga sudah berjanji dengan peminat untuk terus menyanyi mengikut kemampuan diri saya,” akhirnya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf