Pempengaruh terkenal, Ryan Bakery sememangnya sudah senonim sebagai pembikin konten yang selalu membawakan isu berkaitan ragam masyarakat.

Terbaharu, Ryan telah memuat naik sebuah konten mengenai ragam petugas kesihatan yang menjaga kaunter pendaftaran di hospital.

Video berkenaan telah mendapat sambutan luar biasa sehingga meraih lebih tujuh juta tontonan di aplikasi Tik Tok.

Ketika ditemui media, Ryan atau nama sebenarnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery mendedahkan video berkenaan telah mengundang kemarahan segelintir pihak yang kurang senang dengan kontennya itu.

Menurut Ryan, video tersebut bukanlah untuk menghentam mana-mana pihak sebaliknya ia merupakan pengalaman yang pernah dilaluinya sepanjang hidup.

“Memang ramai yang marahkan saya bila saya buat video mengenai pekerja hospital yang menjaga kaunter itu. Malah, ramai juga yang follow akaun Tik Tok saya disebabkan video tersebut.

“Saya rasa, mungkin mereka dari kalangan yang terasa. Memang dari dahulu lagi saya selalu membuat video tentang ragam masyarakat.

Ads

“Bila saya buat video tersebut, bukan bermakna saya nak hentam sektor kesihatan. Habis tu, kalau saya buat konten mengenai peniaga, itu bermakna saya jatuhkan peniaga juga ke? Tidak,” katanya kepada MH.

Ryan berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Tik Tok Awards Malaysia yang berlangsung di sebuah premis acara di Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada masa sama, Ryan turut mendedahkan ada juga segelintir pihak yang menegurnya sehingga ke ruangan direct message (DM).

“Ia merupakan pengalaman saya sepanjang berjumpa dengan orang.
Namun, saya jadikan isu tersebut sebagai hiburan sahaja dan bukan untuk menyerang mana-mana pihak.

Ads

“Bila ada yang DM dan menegur saya mengenai video kaunter hospital itu, saya muat naik satu Instagram Stories dan terangkan semula kepada mereka secara baik.

“Saya bagitahu yang saya tiada niat nak menghina dan saya hanya lakonkan semula ragam manusia di Malaysia ini. Konten ini ada pelbagai jenis. Mungkin nanti kita buat video fasal polis yang jaga roadblock pula,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ryan yang mempunyai jumlah pengikut memcecah empat juta di Tik Tok juga teruja apabila namanya tercalon untuk beberapa kategori di Tik Tok Awards Malaysia 2023.

Menurutnya, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi sebaliknya gembira dengan program-program yang meraikan dan menghargai para pembikin konten.

Ads

“Alhamdulillah, berkat sokongan keluarga, syarikat pengurusan, kawan-kawan dan pengikut di media sosial, saya berjaya sampai ke tahap ini. Tanpa mereka, hal ini mungki tidak akan berlaku.

“Bila nama tercalon, siapa sahaja yang tak seronok. Bagi saya, nama tercalon pun saya sudah bersyukur.

“Saya tak meletakkan sangat harapan untuk menang. Kalau berharap sangat, nanti tak dapat, kita pula yang sedih. Saya follow the flow sahaja. Kalau ada rezeki, kita menang. Kalau tiada, kita cuba lagi,” akhirinya.

Tik Tok Award Malaysia 2023 bakal berlangsung pada 27 Ogos ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.

Anugerah yang diadakan buat julung kalinya ini akan dipancarkan secara langsung di saluran TV3 bermula jam 9 malam.

Tiga selebriti terkenal tanah air iaitu Sherry Alhadad, Izzue Islam dan Amelia Henderson telah diberikan tanggungjawab selaku pengacara.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI