Bakal tampil dengan single terbaharu, Datin Alyah mendedahkan lagu berkenaan bakal menampilkan berkolaborasi pertamanya dengan pendakwah bebas, PU Riz.
Berkonsepkan kerohanian, lagu berjudul Thank You Allah itu dijangka bakal dilancarkan sebelum menjelangnya Ramadan.
Jelas Alyah, penampilan PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail itu adalah sebagai pelakon yang bermonolog dalam bahasa Melayu dan Arab di dalam lagu berkenaan.
“Ketika proses masukkan vokal tak sangka kemampuan dia besar dan bermonolog dengan baik. Memang kita panggil dia untuk monolog, apabila dia datang dan dengar suara, saya berasa dia boleh nyanyi dengan baik juga.
“Cuma tak boleh ‘explore’ banyak perkara mengenai dia sebab tahu dia sebagai PU saja. Apabila sudah kenal, banyak perkara dalam diri dia nak buat, cuma mungkin kena beri waktu dulu,” katanya.
Berkongsi dengan lebih lanjut, isteri kepada pemuzik terkenal, Datuk Ramli MS ini menyifatkan pemilihan pendakwah bebas tersebut sebagai satu pilihan tepat, khasnya daripada segi suara yang berjaya disesuaikan dalam lagu ciptaan bersama Omar K dan lirik oleh Ikhwan Fatanna itu dengan baik.
“Kami bukan main ambil saja, tapi kita tengok lakonan dia dan macam mana dia lontarkan dialog. Bagi monolog, dia berikan input dengan ayat sendiri. Monolog idea dia sendiri dalam bahasa Melayu dan Arab.
“Dalam erti kata lain, suara PU Riz ni sangat ‘limited’. Bukan cakap sebab nak trending, tapi sejujurnya kalau tanya saya lima tahun lepas dan lima tahun akan datang itulah jawapan saya.
“Apabila dia masukkan vokal dan dengar, baru nampak kelebihan dan kemampuan dia.
“Mungkin selama ini orang hanya bercakap soal peribadi saja. Bakat dia banyak lagi boleh ‘explore’. Dia ada karakter suara macam pelakon hebat lain. Cuma bezanya dia PU,” katanya lagi.
Terdahulu, satu video yang dimuat naik penyanyi Meluruh ini menerusi Instagram menarik perhatian ramai apabila PU Riz dilihat mengisi masa bersama beberapa kenalan lain dengan berkunjung ke kediaman penyanyi tersebut baru-baru ini.
Malah Alyah menerusi kapsyen juga turut mengucapkan selamat pengantin baru buat Riz yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan selebriti popular, Neelofa minggu lalu.
Foto: Instagram Alyah, PU Riz