“Mustahak Untuk Buka Mata Kerjaya MUA Bukan ‘Low Class’,” – Next Level! Datuk Seri Alha Alfa & MAHSA Rancang Buka Program Diploma

Share

Jurusolek profesional yang juga usahawan, Datuk Seri Al Halim Al Fadzil atau dikenali sebagai Datuk Seri Alha Alfa optimis di dalam usaha mengangkat kerjaya solekan tanah air ke tahap tinggi apabila memeterai kerjasama dengan Universiti MAHSA University (MAHSA).

Alha berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pusat pengajian tinggi terkenal itu adalah sebahagian daripada kejituan usahasama dalam memperkasa kemajuan industri kecantikan negara menerusi bidang pendidikan.

Ia juga dilihat sebagai permulaan ke arah kerjasama yang lebih besar di masa akan datang iaitu perancangan mewujudkan program pendidikan peringkat Diploma Seni Solekan dan Kecantikan.

“MoU ini adalah perjanjian persefahaman untuk menjalin kerjasama lebih erat dari segi kemahiran dan akademik dalam pengajaran, latihan, penyelidikan dan pembangunan produk dengan merangkumi program pengajian, pertukaran maklumat serta perkongsian kepakaran.

“Kerjasama ini juga melibatkan pertukaran penyelidik, tenaga pengajar dan para pelajar di samping penganjuran persidangan kecantikan dan kesihatan di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Sudah pasti Alha Alfa Cosmetics di bawah AARLSB sangat berbesar hati mendapat kepercayaan untuk mengukuhkan jalinan kepakaran kami dengan Universiti MAHSA, seterusnya memperincikan perancangan lebih besar selepas ini

“Lebih istimewa, kami mempunyai perancangan mewujudkan program Diploma di dalam bidang seni solekan dan kecantikan bagi membantu jurusolek Malaysia yang selama ini tercari-cari pengiktirafan akademik di peringkat universiti,” katanya yang juga Pengarah Eksekutif Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd (AARLSB) itu.

Pada majlis sama, pengasas jenama kosmetik itu juga turut dianugerahkan Profesor Adjung daripada universiti tersebut.

Sementara itu, objektif usahassma berkenaan juga adalah bagi membolehkan mereka mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Katanya, secara tidak langsung ia menaikkan karier jurusolek sebagai sebuah kerjaya profesional dan mempunyai prestij tersendiri bersandarkan kemahiran serta taraf pendidikan diperolehi.

“Sepanjang penglibatan saya di bidang ini selama 10 tahun, saya melihat make up artist atau lebih dikenali sebagai MUA mempunyai potensi diangkat sebagai

kerjaya profesional seperti karier profesional lain.

“Namu stigma masyarakat yang melihat kerjaya ini sebagai “kerjaya jalanan”, atau menggelarnya sebagai “kerja mak andam” sedangkan kepakaran jurusolek kita sudah diperakui di peringkat antarabangsa.

“Sebagai seorang graduan universiti, saya melihat pengiktirafan akademik adalah perkara paling mustahak untuk membuka mata masyarakat  bahawa kerjaya MUA bukan ‘ low class’,” ulasnya lagi.

Sebagai permulaan, sesi penerangan menerusi program jelajah seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak bakal berlangsung pada bulan ini dan seterusnya ke seluruh negara.

Butiran lanjut tentang jelajah ini boleh didapati di platform media sosial Alha Alfa dan Universiti MAHSA.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH