Selepas menjuarai program realiti, Hijrahkan Laguku musim pertama, penyanyi, Shahir Zawawi mendedahkan dirinya mahu memanfaatkan peluang tersebut untuk membina semua namanya selepas menyepi daripada industri seni tanah air sebelum ini.
Menurut Shahir, dia berharap agar rezeki yang dikurniakan Allah akan terus memihak kepadanya selepas ini.
“InsyaAllah saya akan sedaya upaya untuk cuba bertahan lama di dalam industri selepas ini. Saya akan cuba elak untuk menjadi seperti ‘chipsmore’.
“Apapun, kita hanya mampu merancang. Doakan semoga rezeki saya sentiasa dipermudahkan.
“Perjalanan yang Allah telah susun itu kita kena tetap jalani. Tak kisah sama ada sewaktu di atas atau di bawah, kita tak boleh nak lari. Saya hanya meneruskan perjalanan dan mencuba untuk jadi yang terbaik,” katanya ketika dihubungi MH.
Pada masa sama, Shahir turut menafikan tanggapan segelintir pihak yang menyifatkan dirinya hanya akan menyanyikan lagu-lagu berentak ketuhanan selepas menjuarai program nyanyian terbitan stesen televisyen Islamik, TV AlHijrah itu.
“Bagi saya muzik itu tidak salah. Sama ada pop, balada atau apa juga genre sekalipun, ia merupakan selera masing-masing.
“Saya tiada masalah untuk menyanyikan apa juga genre sekali pun yang penting pengisian di dalam lagu itu biarlah ada manfaat kepada pendengar. Bukan hanya hiburan semata-mata,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, bekas juara Akademi Fantasi (AF) musim ke-8 ini turut memaklumkan dia tidak mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat kerana fokusnya pada ketika ini adalah untuk membina semua kerjayanya.
“Saya masih lagi belum berpunya sebab ketika ini saya memang berikan sepenuh tumpuan terhadap kerjaya sahaja. Kita pun baru je nak mula bernafas semula.
“Saya ini ada masalah untuk fokus kepada banyak benda. Kalau saya fokus bekerja saya risau perkara-perkara lain itu akan mengganggu.
“Saya baru je nak kembali semula di dalam industri ini. Kali terakhir saya mengeluarkan lagu pun pada lapan atau sembilan tahun yang lepas. Sekarang ini saya dalam perancangan nak keluarkan lagu baharu.
Ketika ditanya adakah dia berasa sedikit tertekan kerana belum mendirikan rumah tangga, penyanyi asal Kampar, Perak ini memaklumkan fasa tersebut telah pun berakhir selepas kesemua adik-beradiknya telah selamat berkahwin.
“Dulu mungkinlah mak saya kerap bertanya sebab adik-adik saya belum berkahwin. Ibu meletakkan syarat supaya abang kahwin dulu sebelum adik-adik. Waktu itu agak mendesak.
“Tapi lepas semua adik-beradik saya dah selamat berkahwin, beban itu sudah tiada pada saya,” akhirinya.
Dalam perkembangan lain, Shahir dikhabarkan bakal muncul menerusi beberapa program tv terbitan TV AlHijrah antaranya Ngaji On The Go dan Hijrah Berselawat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit foto: Instagram Shahir Zawawi