Pengasas kosmetik yang kini bergelar penyanyi, Datuk Vida atau nama lengkapnya, Datuk Seri Dr. Hajjah Hasmizah Othman memberitahu, dia menyasarkan muzik video lagu I Am Me yang baru saja dilancarkan mendapat lebih 100 juta tontonan dalam masa tiga bulan di Youtube.
Vida, 46, menambah, dia cukup yakin angka tersebut dapat dicapai memandangkan populariti lagu tersebut termasuk di luar negara seperti Indonesia dan negara Arab.
“Saya yakin angka tersebut akan dapat dicapai. I AM Me pun mendapat reaksi yang baik dari peminat Indonesia dan negara-negara Arab. Tinggal lagi sayalah yang kena gigih promosi, buat boost up dan sebagainya,”kata Vida sejurus majlis pelancarannya di RedBox, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Strategi saya bukan hanya untuk peminat dan pendengar tempatan sahaja sebaliknya kita mahu melangkau ke luar negara,” tambah Vida yang turut memberitahu, kos keseluruhan untuk muzik video berkenaan mencecah RM1 juta.
“Kosnya jadi mahal sebab ditambah dengan persiapan persalinan serta barang kemas yang saya beli untuk dipakai di dalam muzik video ini.
“Bila dicampur itu dan ini, menjadikan kosnya mencecah jutaan ringgit,”kongsinya pagi.
Terdahulu, muzik video itu telah menjalani penggambaran di kediaman mewah Ahli perniagaan tersebut di Ipoh, Perak yang mengangkat konsep mewah, glamor dan ranggi.
Dalam pada itu, Vida menjelaskan, dia mencari idea untuk konsep muzik video itu selama tiga minggu bagi memberikan kelainan.
Lalu bila muncul parodi terhadap lirik I Am Me yang disamakan dengan ‘ayam’ telah membuahkan idea untuk menggunakan bulu ayam sebagai pelengkap kepada kostum utamanya.
“Bila difikirkan, ‘ayam’ itulah yang menjadi tarikan dan saya sanggup ke Thailand untuk beli perhiasan bulu ayam yang digunakan penari. Tapi takut juga nanti ada yang samakan saya dengan perempuan kabaret,”seloroh Vida yang turut dikejutkan dengan kek bertatahkan baru Swarovski bernilai RM26,000.
Sehingga kini, muzik video yang dimuat sejak 24 lalu itu sudah pun ditonton hampir 25,000 kali.
Sementara itu, dia turut bercadang melelong barangan yang digunakan dalam muzik video berkenaan seperti barangan kemas, kostum dan beg tangan berjenama dan hasil jualan daripada lelongan itu akan disalurkan ke tabung dana pembinaan sekolah Tahfiz di Kelantan.
Foto: IG Datuk Vida