“Siapa sokong Elly Mazlein jadi hos tetap sila like.” Itu antara komen peminat apabila bintang yang sinonim menerusi drama Kampung People itu diundang sebagai pengacara jemputan program MeleTop di samping Nabil Ahmad, pada Selasa.
Mengenakan persalinan kelabu, bintang yang baru sahaja mendirikan rumah tangga itu dilihat cukup selesa mengacara dan seperti biasa turut diserikan dengan sikap humor dan selambanya sepanjang rancangan berlangsung.
Paling mencuit tumpuan ialah ketika segmen dua hos menemubual finalis terkini Hero Remaja 2020 dan mereka turut sporting melakukan cabaran joget ‘Suling Sakti Spongebob’ bersama-sama.
Segmen tersebut yang turut dimuat naik menerusi YouTube MeleTop kini sudahpun ditonton lebih 300,000 kali.
Menjengah ke ruangan komen, rata-ratanya memberi reaksi baik terhadap cara pengacaraan Elly dan mereka turut mencadangkan agar penyanyi Bungaku Bakawali itu dikekalkan sebagai hos tetap.
Elly terdahulu turut dijemput ke program sama sebagai tetamu undangan bersama suami, Cikgu Mohammad Azlan Che Noh.