Pelakon Sharnaaz Ahmad tampil mengucapkan selamat pengantin baru buat bekas isterinya, Noor Nabila yang selamat mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihannya, Engku Emran, hari ini.
Memberikan reaksinya menerusi satu video khusus buat media, pelakon filem Polis Evo 3 ini mengakui kakak kepada usahawan terkenal, Neelofa itu berhak untuk mencari kebahagiaan.
“Nabila berhak untuk mencari kebahagiaan dia sendiri sebab dia pun muda. Jadi bagi saya untuk dia mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran adalah satu benda yang sangat baik.
“Saya sebagai bekas suami kepada Nabila ingin mengucapkan selamat pengantin baru kepada mereka. Semoga berbahagia sampai ke anak cucu. Jaga Jebat elok-elok, okay,” katanya.
Meski telah berpisah hampir setahun, keduanya masih berhubungan baik demi anak permata hati mereka, Jebat Jayden.
Untuk rekod, Sharnaaz dan Nabila berkahwin pada 31 Mac 2017 dan bercerai pada 9 Julai tahun lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Sehingga kini, video tersebut sudah pun ditonton lebih 70,000 kali dengan pelbagai reaksi telah ditinggalkan warganet menerusi ruangan komen.