Hiburan

Nabila Huda Bergenang Air Mata Rindu Amy Search, Hasrat Salam Raya Tercapai – “Allah Pertemukan Kami.”

Share

Pelakon Nabila Huda tidak dapat menahan sebak saat berkongsi semula momen sewaktu bertemu dengan bapanya yang juga penyanyi lagenda, Datuk Amy Search.

Menurut Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, meskipun mereka kini terpisah disebabkan situasi dan takdir, namun ‘alam’ sentiasa punyai cara untuk pertemukan mereka kembali.

“Alam sentiasa ada cara nak menyatukan kami. Saya pun tak jangka akan bertemu di situ. Beginilah kehidupan. Setiap orang ada jalan hidup masing-masing. Kita lalui sahaja dengan tenang.

“Pada pertemuan tersebut, terlerai sekejap perasaan rindu ini. Saya seronok tapi pada masa sama agak nervous. Saya tak tahu dia ada di situ pun.

“Dapatlah kami bersalam raya dan memohon maaf. Alhamdulillah Allah pertemukan kami. Kami saling meluahkan rasa rindu. Saya bagitahu papa yang saya sangat sayangkan dia,” katanya kepada MH.

Ibu kepada seorang cahaya mata ini berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Telaga Suriram di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Khamis.

Cuma Rindu…

Pada masa sama, Nabila memaklumkan dirinya agak sedih bila mengenangkan kembali konflik yang seakan tiada berkesudahan.

“Saya pun tak tahu macam mana nak jelaskan. Saya percaya segala yang berlaku adalah takdir. Saya pasti kalian juga tahu bagaimana situasinya saat ini. Saya cuma rindu.

“Tapi tak mengapalah. Kalau kami tidak dapat berjumpa sekarang, mungkin kita akan lebih bahagia di kehidupan seterusnya. Mungkin situasi, masa dan takdir yang memisahkan kami.

“Momen ini sangat menyentuh emosi kerana ceritanya seperti tiada kesudahan. Daripada saya kecil hinggalah sekarang. Namun, tak guna juga kita terlalu emosi. Hidup perlu diteruskan. Masing-masing ada kehidupan sendiri,” kongsinya lagi.

Doa Yang Terbaik

Ditanya adakah dia akan terus berusaha untuk memperbaiki keadaan dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan, Nabila akui dirinya kini sudah penat.

“Untuk kembali memperbetulkan keadaan? Saya hanya terima apa yang berlaku di hadapan mata saya. Saya sudah penat.

“Betulkan keadaan atau tidak, ceritanya tidak akan habis. Tetap ada sahaja begitu,” katanya.

Katanya lagi, meskipun jarang bertemu, Nabila memaklumkan dia akan sentiasa mendoakan yang terbaik buat bapanya itu.

“Saya akan sentiasa doakan kebahagiaan papa seperti mana dia doakan saya. Saya harap dia panjang umur dan sentiasa sihat. Diharapkan satu hari nanti kita akan bersama ,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf