Tidak dinafikan, fenomena lagu Pematah Hati nyanyian Nabila Razali mencipta sensasi tersendiri, hingga mencetuskan viral yang bukan calang-calang beberapa bulan lalu. Bermula dengan drama cintanya, lagu tersebut berjalan seiring hingga menempa populariti yang boleh dikagumi.
Bagaimanapun, dalam ramai yang suka, pasti akan ada segelintir peminat yang agak pesimis dengan keupayaan penyanyi dan pelakon berkenaan, terutamanya apabila mengalunkan single berkenaan secara langsung.
Berkongsi mengenai perkara itu kepada MH, Nabila mengakui bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak, lebih-lebih lagu apabila impak besar yang diterimanya terhadap Pematah Hati.
“Saya sedar, ada yang kata saya boleh nyanyi secara live dan begitu juga sebaliknya. Apa yang boleh saya cakap, bila berkata mengenai kebolehan menyanyi ni rasanya semua orang boleh menyanyi. Cuma antara sumbang dan tidak saja. Bagaimanapun, saya cuba untuk berikan yang terbaik setiap kali diminta untuk menyanyikan lagu tersebut.
“Cuba baiki mana yang perlu untuk buktikan bakat saya pada peminat,” jelasnya jujur.
Malah kata Nabila lagi, dia cuba belajar daripada kesilapan demi mempertingkatkan usaha dan pada masa sama cuba menerima setiap kritikan dengan hati terbuka.
“Saya cuba untuk ambil ia secara positif. Tetapi mana-mana yang macam nak menjatuhkan, saya tak ambil pusing,” tegas bintang muda ini yang sudah pun mencari material untuk menghasilkan single terkininya selepas Pematah Hati.
“Mungkin masih setia bersama Hael kerana kami serasi dan dia tahu sejauh mana keupayaan saya dalam menyampaikan sesebuah lagu,” akhiri Nabila.
Foto: Instagram Nabila Razali