Lagu Bukan Lagi Kita yang dipersembahkan penyanyi Nadeera diumumkan antara 10 buah lagu layak bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39.
Naskhah berkenaan merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Hael Husaini dan Iqie Hugh.
Nadeera yang juga juara program realiti, Big Stage 2023 itu mencipta sejarah sendiri apabila julung kalinya berjaya berentap dengan sembilan lagu lain yang turut layak ke peringkat akhir.
Tidak hanya itu, penyanyi, komposer dan penulis lirik, Hael turut layak dengan lagu nyanyian dan ciptaannya bersama Iqie Hugh berjudul Diam.
Selain itu, pemenang tempat ketiga dan Vokal Terbaik AJL 38 menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu, Aina Abdul turut mara ke AJL 39 menerusi Puas Sudah.
Lagu-lagu itu diumumkan pada siaran langsung TV3 dari Studio 1, Glenmarie, di sini, malam tadi menerusi episod kedua SFMM 39.
Tujuh lagu yang turut bersaing termasuk Sengaja nyanyian Amir Masdi ciptaan dan lirik oleh Bunga Cantik dan Hang Nadim, Saksama (Akim & The Majistret/Akim & The Majistret & Bunga Cantik), Hening Rindu (Marsha Milan/Ikhwan Fatanna & Wan Salleh/Ikhwan Fatanna) termasuk Aura (Ernie Zakri/Ernie Zakri & John Jeeves/Ernie Zakri & John Jeeves).
Selain itu, lagu yang turut lolos adalah Pujaanku (Masdo & Aisyah Aziz/Ali Sariah/Ali Sariah & Hedimoru); Risiko (Benzoloo, Ghidd, Isobahtos, Meerfly, Tuju & Mk K-Clique/Apipapol/Benzoloo, Ghidd, Isobahtos, Meerfly, Tuju & Mk K-Clique); serta Terus Bersinar (Hafiz Suip/Mas Dewangga, Jova Devito & Datuk Arisz Abdul Rahman/Mas Dewangga & Jova Devito).
Kesemua lagu dinilai oleh Edry Abdul Halim selaku ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail, Efry Arwis, LY, Helen Yap dan AD Samad.
Sidang produksi SFMM 39 diketuai oleh pengurus projek, Russell Mark Rodrigues; penerbit eksekutif, Nurhul Huda Khalid sebagai dan penerbit, Mohd Jamira.
SFMM 39 menyaksikan Izzue Islam dan Fiza Frizzy bertindak sebagai pengacara.
Pentas SFMM 39 malam tadi turut disajikan dengan penampilan istimewa daripada artis jemputan, Ayda Jebat yang menyanyikan tiga buah lagu yang pernah memenangi anugerah di AJL.