Penyanyi, Najwa Mahiaddin mendedahkan dirinya tidak mempunyai perancangan untuk mengikut jejak langkah bapanya yang juga merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menceburi bidang politik.
Menurut Najwa, dia akan tetap memberikan fokus terhadap kerjaya seni dan belum bersedia untuk menceburi bidang lain.
“Saya tak reti nak berpolitik. Secara peribadi, jiwa saya memang lebih tertumpu kepada bidang seni,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Got To Go ini turut memberitahu, meskipun dirinya lahir daripada keluarga ahli politik, namun, dia tidak pernah rasa tertekan untuk melakukan perkara yang disukainya itu.
“Saya tak rasa sebegitu kerana keluarga saya memang sangat faham yang saya memang tidak mempunyai minat ke arah politik. Mereka memang menyokong kerjaya seni saya sejak awal lagi.
“Mereka tahu saya sukakan bidang seni. Bila saya masuk ke universiti pun saya belajar mengenai muzik.
“Jadi, saya tidak pernah rasa tertekan dan keluarga pun tak pernah memaksa saya untuk menceburi sesuatu bidang itu kerana mereka tahu saya sudah ada pilihan sendiri,” ujarnya lagi.
Najwa berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Rahsia yang berlangsung di GSC Cinema, Mid Valley, Kuala Lumpur pada Selasa.
Sementara itu, Najwa turut memaklumkan status ibu sedikit sebanyak membataskan dirinya bergiat aktif dalam bidang seni
“Buka masa sekarang, saya masih lagi mencari keseimbangan diantara kerja dan keluarga. Sebelum ini, kita harus melalui fasa pandemik COVID-19. Jadi, kita memang tak keluar sangat dan fokus saya lebih kepada keluarga serta anak-anak.
“Kalau saya terpaksa keluar bekerja, ibu saya yang akan menjaga anak saya kerana saya tiada pembantu dan segalanya saya buat sendiri.
“Adik-beradik lain pun ada membantu juga. Saya mahu gunakan kesempatan ini untuk lebih dekat dengan anak saya. Sekarang pun dia sudah faham bila saya harus keluar bekerja,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Najwa turut berharap agar single terbaharunya yang berjudul Alunan Lara yang menjadi lagu runut bunyi bagi filem Rahsia dapat membuka peluang-peluang baharu untuk mengatur semula kerjaya seninya.
“Ketika fasa pandemik, saya pula mengangdung. Memang waktu rehat itu agak lama. Namun, saya tetap mempunyai kerja seni di belakang tabir yang tidak memerlukan saya untuk ke hadapan.
“Mungkin baru sekarang pihak media dan peminat dapat melihat saya kembali. Saya juga banyak melakukan kerja-kerja di studio yang bakal keluar tidak lama lagi
“Disebabkan fokus untuk membersar anak, saya kini masih merancang untuk menghasilkan lagu baru. Jadi, saya harap lagu Alunan Lara yang menjadi OST untuk filem Rahsia dapat membuka peluang-peluang baharu untuk saya,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.